Penyamun bertopeng maut ditembak di kawasan perumahan Palm Height. FOTO Ihsan PDRM
Hazsyah Abdul Rahman


LELAKI bertopeng maut ditembak pasukan keselamatan selepas cuba menyerang polis di kawasan perumahan Palm Height, Lahad Datu hari ini.

Dalam kejadian 3.20 pagi itu, penjenayah berusia 28 tahun dipercayai warga Indonesia dikejar sepasukan polis sebelum bertindak melibas pedang samurai sepanjang 0.7 meter kepada anggota polis yang cuba menahannya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian pihaknya sedang menjalankan operasi ‘Op Ambang’ sebelum menerima makluman kejadian cubaan samun dan pecah rumah di kawasan itu.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, beliau mengetuai sepasukan anggota polis ke lokasi sebelum bertembung dengan suspek di kawasan ladang sawit di belakang kawasan perumahan itu.

“Suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan dan memakai topeng muka serta memegang samurai panjang tanpa sarung.

“Polis memperkenalkan diri dan suspek melarikan diri sehingga memaksa polis mengejarnya. Polis turut memberikan amaran kepada suspek supaya berhenti menyerah diri,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Nasri berkata, penjenayah itu kemudiannya berjaya dihampiri namun suspek bertindak melibas pedang samurai ke arah anggota polis sehingga memaksa anggota melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

Katanya, sebaik melepaskan tembakan ke arahnya, suspek rebah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Setakat ini, identiti penjenayah itu masih belum dikenalpasti dan mayat suspek dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu.

“Siasatan dijalankan mengikut 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh,” katanya.

Sehubungan itu, Nasri meminta ahli keluarga suspek untuk tampil bagi proses pengecaman dan membantu melengkapkan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 4:58 PM