Hafidzul Hilmi Mohd Noor


GURU sambilan ditahan bersama pelbagai dadah di sebuah hotel di Jalan Bandar 12, Taman Melawati, Ampang Jaya kelmarin.

Lelaki itu ditahan polis dari Balai Polis Taman Melawati menerusi Ops Cegah Jenayah Khas, 7 malam kelmarin hasil maklumat dan risikan yang dilakukan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan dalam sebuah bilik hotel terbabit.

“Pemeriksaan menjumpai serbuk disyaki heroin 0.64 kilogram, eramin 5 seberat 18.8 gram yang semuanya dianggarkan bernilai RM6,000.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah methamphetamine,” katanya.

Sundralingam berkata, pemeriksaan juga mendapati suspek memiliki satu rekod lampau bersabit kes dadah.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah diperoleh daripada seorang lelaki di sekitar Lembah Klang itu miliknya.

“Suspek mendapatkan bekalan pada harga RM1,400 untuk 12.5 gram heroin dan syabu. Dadah itu dijual semula suspek dengan harga RM30 bagi sepaket heroin (1.7 gram) manakala RM50 untuk syabu (0.6 gram),” katanya.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan suspek kini direman tujuh hari sehingga Khamis ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 6:00 PM
Digital NSTP Subscribe