Siti A'isyah Sukaimi


MAYAT remaja yang dihanyutkan arus ketika mandi di muara Sungai Sepang, Bagan Lalang semalam, ditemui jam 12.40 tengah malam tadi.

Jurucakap bomba Selangor berkata, mayat Muhammad Hafiz Mohd Zainal, 14, ditemui nelayan pada anggaran jarak 150 meter dari tempat kejadian.

“Susulan itu, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya," katanya, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan, dua beradik dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di muara Sungai Sepang, Bagan Lalang, Sepang.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa, Siti Nuralya Mohd Zainal, 11, dan abangnya, Muhammad Hafiz, 14, mandi di muara itu bersama empat yang lain.

Difahamkan, empat mangsa terselamat ialah masing-masing dua lagi adik-beradik serta sepupu mereka.

Dua adik mangsa yang selamat ialah Muhammad Al Hakim, 9, dan Muhammad Alif Haikal, 7; manakala dua sepupu mereka ialah Muhammad Ferdaus Rizwan Mohd Khairilnizam, 11, dan adiknya, Muhammad Luqman, 7.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sepang, Azrul Faizal Maarif dilaporkan berkata, kedua-dua mangsa dipercayai tergelincir sewaktu mandi di sungai berkenaan lalu dibawa arus dan ketika itu air mula pasang.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Saya sedih dan terkilan...'

Dua beradik dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 10:26 AM