KEADAAN basikal mangsa. FOTO ihsan polis
Garret Dawum


KANAK-kanak lelaki maut selepas basikal ditunggangnya dilanggar kereta di Kilometer 3 Jalan Datuk Muhd Musa, Kota Samarahan, 10.30 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, mangsa dikenali sebagai Arif Fahmi Cassidy, 10, berasal dari Kampung Sindang.

“Mangsa menerima rawatan awal di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (PJHUS) sebelum disahkan meninggal dunia jam 6.20 pagi tadi di Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat parah di kepala.

“Pemandu Perodua Myvi berusia 33 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata, hasil maklumat awal mendapati pemandu Myvi berkenaan dalam perjalanan balik ke rumahnya di Taman Desa Ilmu dari pejabat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Samarahan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu ternampak sekumpulan penunggang basikal terdiri daripada empat hingga lima kanak-kanak beriringan dari arah sama.

“Ketika menghampiri kumpulan penunggang basikal itu, tiba-tiba seorang daripadanya membuat pusingan U dan menghala ke arah keretanya.

“Pemandu itu cuba mengelak ke kanan tetapi gagal kerana ada kenderaan datang dari arah bertentangan. Akibatnya, Myvi bertembung dengan basikal terbabit,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 12:02 PM