Mayat lelaki yang ditemui peniaga di Seksyen 31 hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Nur Lela Zulkipli


MAYAT lelaki tanpa identiti ditemui dalam longkang berhampiran Jalan Persiaran Anggerik Renantanda, Kota Kemuning, Seksyen 31, Shah Alam hari ini.

Mayat itu ditemui peniaga Pasar Pagi Ahad pada 8.30 pagi sebelum dimaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mayat lelaki itu ditemui selepas peniaga di pasar itu terhidu bau busuk dari dalam longkang.

“Mayat berada dalam longkang yang berkedalaman 2.7 meter.

“Mayat memakai t-shirt biru gelap bertulis Emirates dan seluar panjang gelap,” katanya hari ini.

Katanya, berdasarkan pandangan kasar terdapat tiga kesan dipercayai tikaman objek tajam pada perut mayat yang dianggarkan berusia 30-an.

“Mangsa disyaki sudah mati dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui. “Tiada sebarang dokumen dijumpai pada mayat dan sekitar lokasi kejadian,” katanya.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 4:07 PM