Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Shamsul Munir Safini


LELAKI ditemui meninggal dunia di hadapan rumahnya di Kampung Juru, Bukit Mertajam, hari ini.

Choong Teik Shyang, 55, ditemui terbaring dalam keadaan mengiring di hadapan rumahnya oleh orang awam pada 5.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, polis yang tiba di rumah itu menemui dompet mangsa di hadapan mayatnya, manakala motosikal miliknya hilang.

“Topi keledar mangsa ditemui dalam semak pada jarak 15 meter dari tempat dia terbaring.

“Bagaimanapun, motosikal mangsa jenis Yamaha Lagenda tiada di lokasi dan usaha mengesannya giat dilakukan,” katanya hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, pasukan forensik yang menjalankan siasatan di lokasi tidak menemui kesan pergelutan dan pemeriksaan awal pada badan mangsa juga tiada kesan luka.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan hasil bedah siasat, mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung.

Setakat ini kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 5:12 PM