ANTARA pasangan yang ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam operasi, semalam. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber.
Nur Saliawati Salberi


HAJAT sepasang kekasih ke Melaka untuk ‘bulan madu’ sempena cuti umum terbantut apabila mereka dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di hotel bajet dekat Kampung Lapan, awal pagi ini.

Pasangan itu yang juga penuntut universiti awam di Selangor, ditahan pada 2.30 pagi.

Sumber berkata, ketika disoal, mereka mendakwa mendaftar masuk ke hotel itu selepas Maghrib untuk penginapan satu malam.

Katanya, pasangan itu antara 10 individu berusia 21 hingga 40 tahun yang ditahan selepas didapati berdua-duaan dengan pasangan bukan muhrim di dalam bilik hotel.

“Operasi bermula 10.30 malam memeriksa lima hotel bajet di Cheng, Klebang dan Kampung Lapan.

“Semua pasangan yang ditahan, gagal mengemukakan dokumen mengatakan mereka suami isteri sah.

“Terdapat pasangan yang mendakwa mereka suami isteri yang bercerai pada 2016, namun sudah rujuk kembali. Namun, semakan tidak menemui butiran lanjut,” katanya, hari ini.

Menurutnya, semua pasangan dibawa ke pejabat JAIM untuk merekod keterangan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah JAIM Md Azhan Samat ketika dihubungi mengesahkan tangkapan 10 individu itu dan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 5:52 PM