GAMBAR hiasan
Shamsul Munir Safini


MAYAT lelaki dengan kesan jerutan dawai di leher ditemui bawah pokok jambu sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Berapit, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam, Chong Miow Tat, 56, ditemui tidak sedarkan diri oleh seorang lelaki di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mayat terbabit ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap.

“Pemeriksaan pada mayat menemui kesan lilitan dawai di lehernya dan tiada kesan kecederaan lain seperti lebam atau luka.

“Waris lelaki itu mendakwa Chong tidak mempunyai masalah seperti hutang atau bergaduh dengan sesiapa dan kali terakhir dia berjumpa keluarganya ialah pada jam 10 malam,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, jiran sekeliling mendakwa mereka tidak mendengar sebarang bunyi bising atau pergelutan.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 6:22 PM