PENDUDUK bergotong-royong sebelum program Ekspresi Merdeka anjuran PPSKLIA. FOTO Amir Abd Hamid.
PENDUDUK bergotong-royong sebelum program Ekspresi Merdeka anjuran PPSKLIA. FOTO Amir Abd Hamid.
Amir Abd Hamid


WALAUPUN baru dua tahun tinggal bersama, lebih 600 penduduk Taman Saujana KLIA (SKLIA), Sepang mengambil kesempatan bersuaikenal sambil memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-62, semalam, yang dianjurkan persatuan penduduk taman perumahan itu.

Pelbagai acara dijalankan dalam program Ekspresi Merdeka selama dua jam bermula 8 malam yang mendapat sambutan hebat penduduk pelbagai bangsa itu termasuk pertandingan basikal berhias tema merdeka, wayang pacak, kuiz kemerdekaan dan bintang SKLIA membabitkan bakat cilik serta pertunjukan bunga api.

Pengerusi Persatuan Penduduk SKLIA, Mohd Zakiyuddin Khadir berkata, selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk, program itu bermatlamat untuk memupuk jati diri dan menyuntik semangat patriotisme.

“Ini kesempatan terbaik penduduk pelbagai bangsa bermesra dan bersuaikenal antara kejiranan yang pada kebiasaannya sibuk dengan urusan masing-masing.

“Segala persiapan dilakukan untuk menjayakan program di Padang Utama SKLIA ini dilakukan sukarelawan membabitkan penduduk pelbagai bangsa.

“Kami gembira bergotong-royong untuk memastikan program ini berjaya. Malah pembabitan generasi muda dalam kalangan remaja dan kanak-kanak tanpa mengira kaum diharap dapat memupuk sikap toleransi antara mereka dengan selari dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

PEMENANG pertandingan Basikal Berhias Tema Merdeka program Ekspresi Merdeka anjuran PPSKLIA. (Dari kiri) Sofea Al Humairaa Ahmad Faizal, 6, (tempat kedua), Iris Adriana Haniff, 5, (juara) dan Muhammad Rayyan Adam Mohd Khalil, 10, tempat ketiga. FOTO Amir Abd Hamid.
PEMENANG pertandingan Basikal Berhias Tema Merdeka program Ekspresi Merdeka anjuran PPSKLIA. (Dari kiri) Sofea Al Humairaa Ahmad Faizal, 6, (tempat kedua), Iris Adriana Haniff, 5, (juara) dan Muhammad Rayyan Adam Mohd Khalil, 10, tempat ketiga. FOTO Amir Abd Hamid.

Beliau berkata, beberapa gerai turut dibuka termasuk pendaftaran keahlian PPSKLIA, arah kiblat kediaman, kutipan pagar keselamatan selain menguar-uarkan usaha penduduk beragama Islam untuk mengumpul dana pembinaan masjid.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati pengisian program berkenaan dihayati penduduk termasuk tayangan wayang pacak filem patriotik Bukit Kepong yang menimbulkan nostalgia ketika zaman komunis berleluasa.

Pertandingan basikal berhias tema merdeka terbuka kepada kanak-kanak pula dapat mengasah kreativiti mereka yang menyertainya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 8:47 PM