HUZIR Mohamed. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang cuba menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sudah menjalankan siasatan ke atas beberapa kes menarik perhatian sejak 11 Jun lalu.

Menurutnya, isu video di kumpulan WhatsApp jemputan raya Azmin yang tular di laman sosial kes disiasat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM)1998.

“Kertas siasatan ke atas kes ini sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan beberapa arahan lanjut sudah diterima.

“Pihak polis juga menerima satu laporan analisa video oleh Verden Forensics United Kingdom daripada Datuk Lokman Noor Adam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Huzir berkata, laporan itu sudah dihantar ke Siber Sekuriti Malaysia untuk diteliti manakala Lokman akan dipanggil semula untuk rakaman percakapan lanjut esok.

“Isu pemilik akaun Facebook Sir Azri yang mempertikaikan kes arwah Syed Mohamad Daniel pula kes disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM 1998.

“Pemilik akaun iaitu Wan Azri Wan Deris atau dikenali Papagomo sudah dipanggil memberi keterangan dan polis menunggu laporan analisa digital ke atas barang kes sebelum dirujuk ke Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata, isu Dr Zakir Naik yang mendakwa bangsa India di Malaysia tidak menyokong Perdana Menteri pula disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Dr Zakir Naik dan beberapa saksi dipanggil untuk memberi keterangan dan kertas siasatan ditaklimatkan kepada Pejabat Peguam Negara di mana masih menunggu keputusan serta arahan lanjut.

“Manakala isu Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kes ini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurut Huzir, keterangan daripada Setiausaha dan Pengerusi Dong Zong serta Timbalan Menteri Pendidikan sudah diambil dan kes akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk mendapat nasihat dan arahan lanjut.

“Isu Blogger Koon Yew Yin yang memberi komen negatif terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula kes disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM 1988.

“Rakaman percakapan beliau sudah diambil dan rampasan ke atas beberapa peralatan digital yang digunakan sudah dibuat di mana kes masih dalam siasatan dan menunggu laporan profiling dan laporan analisa digital daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Katanya, isu Dr Zakir Naik yang didakwa meminta agar kaum Cina keluar dari Malaysia pula kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaandi mana beliau bersama beberapa saksi dipanggil memberi keterangan.

“Kertas siasatan sudah ditaklimatkan kepada Pejabat Peguam Negara dan polis masih menunggu keputusan dan arahan lanjut.

“Sementara itu, isu lima individu membuat kenyataan menyebabkan keresahan dan kemarahan orang ramai terhadap Dr Zakir Naik pula disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” katanya.

Huzir berkata, beberapa saksi sudah dipanggil memberi keterangan dan kes dirujuk ke Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan tidak memainkan sebarang isu yang boleh menyentuh sensitiviti perkaumandan keagamaan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 10:48 AM