DR Mahathir tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh bagi lawatan rasmi selama tiga hari ke Kemboja. FOTO Bernama
Hardi Effendi Yaacob


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, hari ini bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Kemboja.

Ketibaan Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, 9.35 pagi tadi (10.35 pagi waktu Malaysia) disambut Menteri Tugas Tugas Khas Kemboja, Datuk Dr Othsman Hassan selaku menteri pengiring.

Lawatan Perdana Menteri atas jemputan rakan sejawatnya, Hun Sen yang mengagumi kepemimpinan beliau dalam memacu pemodenan Malaysia, terutama dalam konteks pembangunan dan sosio-ekonomi.

Ia juga bagi menyelesaikan beberapa isu berkaitan hubungan Malaysia - Kemboja, termasuk bagi memuktamadkan Perjanjian Pengecualian Cukai Berganda (DTA), sekali gus meningkatkan prestasi dagangan antara kedua-dua negara.

Ini juga menjadikan Kemboja sebagai negara ASEAN terakhir menandatangani perjanjian itu dengan Malaysia.

Turut mengiringi lawatan Dr Mahathir ialah diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Eldeen Husaini Mohd Hashim.

Jadual padat menanti Perdana Menteri sepanjang tiga hari berada di bandar raya ini, termasuk menghadiri sesi dialog bersama komuniti akademik di Royal University of Phnom Penh (RUPP) yang akan turut dihadiri anggota Kabinet Kemboja.

Selesai sesi dialog berkenaan, Dr Mahathir dijadualkan mengadakan mesyuarat khas bersama pemimpin komuniti Islam Kemboja di hotel penginapannya.

Perdana Menteri cukup dikagumi masyarakat Islam di negara ini atas peranan aktif beliau dan Kerajaan Malaysia sendiri dalam mendokong agenda pembangunan sosio-ekonomi komuniti itu.

Esok, Dr Mahathir dijadualkan melawat Tugu Peringatan Kemerdekaan Kemboja, seterusnya diberikan sambutan negara di Peace Palace, di sini disusuli mesyuarat dua hala bersama Hun Sen di pejabatnya.

Kedua-dua pemimpin kemudian akan menyaksikanMajlis Menandatangani DTA dan Memorandum Persefahaman (Mou) Kerjasama Pelancongan Malaysia - Kemboja sebelum mengeluarkan kenyataan bersama mengenai hasil pertemuan mereka.

Dengan populasi mencecah 16.5 juta penduduk, Kemboja adalah rakan dagang kelapan terbesar Malaysia di peringkat ASEAN, dengan nilai perdagangan kedua-dua negara merekodkan RM17.8 bilion sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Selain petroleum, eksport terbesar Malaysia ke negara ini ialah produk kimia dan elektronik, manakala sebahagian besar pelaburan bertumpu kepada sektor hartanah serta perhotelan.

Dr Mahathir turut dijadual mengadakan pertemuan bersama pemain industri dan komuniti perniagaan Malaysia di Phnom Penh sebelum mengakhiri lawatan beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 11:31 AM