Mohd Husni Mohd Noor


KERAJAAN tidak akan berkompromi terhadap pihak yang membangkitkan isu sensitif menerusi penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak menyekat hak bersuara rakyat, bagaimanapun maklumat yang dikongsi perlulah disahkan kebenarannya.

Beliau berkata, terdapat garis halus antara kebebasan bersuara dengan ucapan yang menggalakkan kebencian dan keganasan.

“Kita tidak mahu penyebaran berita palsu ini menimbulkan fitnah dan benci sehingga menyebabkan rakyat merusuh.

“Dalam hal ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu dilihat lebih tegas dalam mengambil tindakan ke atas pihak yang cuba mengeruhkan keadaan dalam negara.

“Tindakan yang diambil juga perlu adil tanpa mengira siapa atau latar belakang individu yang cuba untuk memainkan isu sensitif dengan bertujuan untuk memporak-perandakan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini.

Katanya, sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau memberi amaran tegas dan mengarahkan PDRM supaya tidak bertolak ansur dalam keadaan begini.

Muhyiddin berkata, beliau juga menyeru warga KDN agar tidak terbabit dengan anasir penyebaran berita palsu itu.

Menurutnya, sebagai penjawat awam yang menjaga imej kepada perkhidmatan awam, adalah wajib batas perhubungan dalam komunikasi melalui media sosial diketahui.

“Kawal diri dalam memberikan sebarang komen terhadap isu di media sosial terutama mengenai perkauman dan apa saja penulisan yang boleh menjejaskan imej kerajaan serta negara. “Gunakanlah saluran betul untuk menyampaikan aduan atau melaporkan perkara yang menyalahi undang-undang.

“Pengguna media sosial seharusnya lebih beretika dan bertanggungjawab dengan tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk memanipulasi maklumat, menularkan berita palsu dan fitnah yang hanya akan mengelirukan pemikiran masyarakat.

“Isu penyebaran berita palsu ini boleh menjejaskan keselamatan negara serta perpaduan rakyat.

“Ia umpama ‘duri dalam daging’ yang meresahkan ramai pihak serta boleh memberikan impak negatif dengan tercetusnya perbalahan, perpecahan kaum dan menggugat kesejahteraan hidup bermasyarakat,” katanya.

Katanya, beliau percaya warga KDN sangat penting bukan saja sebagai agensi penguat kuasa malah berperanan penting dalam memberi kefahaman kepada rakyat untuk tidak menyebarkan maklumat tidak benar.

Muhyiddin berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, media sosial adalah medium interaksi utama di Malaysia dengan 96.5 peratus individu menggunakan media sosial pada 2018 berbanding 86.6 peratus pada 2017.

“Aplikasi yang sering digunakan ialah seperti Whatsapps, Facebook, Instagram, dan Twitter,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 10:43 AM
Muhyiddin serta kakitangan KDN menyanyikan lagu patriotik pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Muhyiddin serta kakitangan KDN menyanyikan lagu patriotik pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri. FOTO Mohd Fadli Hamzah