MANGSA ketika menerima rawatan di hospital. FOTO Erika George
Erika George


SEORANG pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sibu, parah selepas ditikam oleh seorang penghuni Pusat Perkhidmatan, Rawatan dan Pemulihan (CCSC), di Jalan Ulu Lanang, Sibu, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa Juing Garai, 38, ditikam suspek berumur 18 tahun itu dengan pisau.

Ketika itu, mangsa sedang berada di bilik rehat pegawai bertugas di tingkat atas bangunan terbabit.

Stanley berkata, mangsa yang berada dalam kesakitan selepas ditikam di bahagian dada, sempat menghubungi ketuanya memaklumkan kejadian itu.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, ketuanya mendapati mangsa dalam keadaan tidak bermaya dan berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, selepas menikam mangsa, suspek turut melarikan dompet dan motosikal jenis Honda Wave berwarna merah milik mangsa.

“Polis masih menjalankan gerakan untuk mengesan suspek dan memohon bantuan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenainya supaya menyalurkan kepada polis,” katanya.

Stanley berkata, sebelum ini suspek pernah memohon untuk ditempatkan di CCSC Miri, namun terpaksa ditempatkan di CCSC Sibu dan mendaftar pada 8 Julai lalu berikutan tiada kekosongan di Miri.

“Suspek dipercayai memang merancang untuk melarikan diri dari pusat pemulihan itu, namun dia sempat menyamun serta mencederakan pegawai terbabit.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 12:00 PM