Abdul Rahim (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis heroin dan pil yaba yang dirampas dalam dua serbuan di Kampung Sungai Budor dan Kampung Tanjung Mas, Kota Bharu semalam. Foto Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


TIGA lelaki yang sedang leka membungkus heroin di sebuah rumah ditahan polis dalam serbuan di Kampung Sungai Budor di Kota Bharu semalam.

Dalam serbuan 12.10 tengah malam itu, tiga lelaki berusia antara 31 hingga 44 tahun ditahan bersama heroin seberat 55.73 gram (g) bernilai RM14,080.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, ketika serbuan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu mendapati tiga lelaki berkenaan sedang membungkus bekalan dadah di ruang tamu.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui satu beg celoreng mengandungi tujuh botol plastik cerah berisi serbuk putih disyaki heroin dan lapan tiub penyedut minuman berisi serbuk putih disyaki dadah jenis yang sama.

“Berdasarkan siasatan awal, dadah berkenaan diperolehi dari negara jiran dan dijual di sekitar Kota Bharu dengan harga RM10 bagi satu tiub penyedut minuman seberat kira-kira 0.07 gram dadah itu,” katanya ketika sidang media di IPD Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati pengedar dan penjual dadah di sekitar bandar itu menggunakan panggilan ‘sekor’ untuk satu tiub penyedut minuman bagi mengelakkan ia dikesan pihak berkuasa.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga lelaki itu positif dadah jenis opiat dan mereka direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Ahad ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, dalam serbuan berasingan di sebuah rumah di Kampung Tanjung Mas pada 12.30 tengah malam Jumaat lalu pula, dua lelaki berusia 28 dan 30 tahun ditahan bersama 516 pil yaba bernilai RM5,160.

“Modus operandi mereka menjual pil yaba dengan harga RM70 untuk 10 pil dan RM9 bagi satu tiub penyedut minuman.

“Dua lelaki terbabit didapati positif dadah methamphetamine dan semakan mendapati mereka masing-masing mempunyai dua serta tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

“Mereka direman tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis ini,” katanya.

Abdul Rahim berkata, semua suspek didapati aktif mengedar dadah sejak empat bulan lalu dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 2:41 PM