Anggota bomba ketika kerja pemadaman kebakaran hutan gambut di Kampung Tanjung Adang dan Kampung Pekajang manakala gambar kecil Sarhan Akmal. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein dan Ihsan JBPM
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEMANGAT setia kawan dan kerja berpasukan antara faktor penyumbang kelancaran operasi pemadaman kebakaran hutan di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang, Iskandar Puteri yang berjaya ditamatkan dalam tempoh 13 hari.

Selain itu, kerjasama pelbagai pihak yang memberi bantuan sepanjang operasi serta kaedah diguna pakai turut memainkan peranan penting memadamkan kebakaran di kawasan seluas 16 hektar itu.

Menceritakan pelbagai cabaran dan pengalaman dihadapi sepanjang operasi, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Sarhan Akmal Mohamad berkata, operasi kebakaran hutan gambut itu antara yang terbesar tahun ini bagi kawasan BBP Iskandar Puteri kerana membabitkan kawasan luas.

“Selepas BBP Iskandar Puteri menerima panggilan kecemasan pada 11.45 pagi 21 Ogos lalu, kita bergegas ke lokasi dan mengakui bakal berdepan pelbagai kekangan apabila melihat lokasi kebakaran itu.

“Kekangan pertama apabila jentera bomba tidak dapat akses ke kawasan punca kebakaran yang mana kita terpaksa menggunakan teknik ‘relay pumping’ iaitu menggunakan sebanyak hos yang ada dari jalan keluar hutan ke ‘water dam’ (tempat penyimpanan air).

“Jarak itu saja 487.68 meter dengan 16 gelung hos digunakan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Penutupan Operasi Kebakaran Hutan Gambut Kampung Pekajang semalam.

Menurutnya, sebagai permulaan tindakan membuka laluan untuk mengakses kawasan punca kebakaran diambil segera dengan mendapatkan bantuan jengkaut dari pihak berkaitan.

Katanya, operasi pemadaman terus dijalankan berdepan pelbagai kekangan lain seperti sumber air terhad apatah lagi hanya terdapat sebuah pili bomba iaitu 1.9 kilometer dari jalan masuk ke lokasi kebakaran.

“Memandangkan akses sedia ada tidak boleh dilalui oleh jentera, kita terpaksa mencari sumber air terbuka dan menemui sebuah parit kecil di kawasan berhampiran dan turut menggunakan air parit berkenaan untuk dipam ke ‘water dam’ dengan jaraknya 396.24 meter dari sumber air terbuka ke ‘water dam’ menggunakan pam angkut 10/10.

“Kemudian sebuah lagi pam angkut digunakan untuk menyedut air di ‘water dam’ dan seterusnya memberi tekanan air di hujung nozel untuk membuat semburan pemadaman ke arah api.

“Pada masa sama, sebuah jentera ‘water tanker’ digunakan untuk membantu memadam kebakaran menggunakan teknik sama,” katanya yang mengesahkan tiada anggota bomba tercedera dalam operasi itu.

Menurutnya, pihaknya turut menggunakan kaedah ‘fire break’ atau membuat parit bagi mengelak kebakaran merebak ke kawasan lebih luas sebelum ‘total flooding’ (membanjirkan kawasan) pada hari kelima operasi.

Cuaca panas dan angin kuat antara faktor menyebabkan api kebakaran hutan itu merebak dengan pantas memandangkan keseluruhan kawasan tanah gambut itu kering.

Bagaimanapun katanya, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila operasi pemadaman itu berlaku pada bulan kemerdekaan.

Katanya, pada 31 Ogos lalu, ketika memadam kebakaran kedengaran suara anggota bomba bertugas yang menjalankan operasi menyanyikan lagu patriotik dan turut melaungkan ‘Merdeka’ di tapak kawasan kebakaran.

“Kami pegang hos macam pegang senjata, kami seperti sedang melawan musuh, kerana musuh bomba adalah api.

“Ketika itu, kami sangat bersemangat, menyanyi lagu patriotik dan merasakan inilah sumbangan dan perjuangan kami kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 2:47 PM