Mursyady diiringi anggota polis selepas dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana menceroboh sebuah rumah untuk melakukan jenayah curi. Foto Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


PADAH menceroboh sebuah rumah untuk melakukan jenayah curi, seorang lelaki dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mursyady Mamat, 37, dari Kubang Badak, Kuala Nerus mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 451 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa menceroboh rumah milik Wan Arida Azreyanti Wan Azmi, 44, di Jalan Tok Jembal, Kuala Nerus pada 6.18 petang, 14 Disember 2016.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa meninggalkan rumahnya dalam keadaan berkunci kira-kira 8 pagi pada 14 Disember 2016.

Mangsa yang pulang ke rumahnya pada 6.18 petang hari yang sama mendapati terdapat kesan umpil di tingkap bahagian dapur, pintu bahagian belakang dan tingkap di bilik stor.

Mangsa membuat pemeriksaan di dalam rumah tetapi tiada barang yang hilang sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Susulan laporan dibuat, tertuduh ditahan di sebuah rumah di Gong Badak, Kuala Nerus pada 12.50 tengah malam, 28 Ogos lalu dan ketika soal siasat tertuduh mengaku menceroboh rumah mangsa dengan niat untuk mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 3:04 PM