MOHAMAD Rahmani dicari polis. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS sedang mengesan seorang lagi individu dipercayai terbabit dalam kes cubaan samun penunggang penghantar makanan, Grab Food pada Ogos lalu.

Suspek yang dikenali sebagai Mohamad Rahmani Mohd Johar, 27, atau Rahmani dipercayai terbabit dalam kejadian itu di pintu hadapan Bangunan Phileo Damansara 2, Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, alamat terakhir suspek ialah Jalan Sri Cempaka Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur.

“Pada 9 Ogos lalu jam 2.53 petang, seorang lelaki diserang oleh dua lelaki bersenjata besi pengunci motosikal di pintu hadapan Bangunan Phileo Damansara 2, Petaling Jaya.

“Orang ramai yang mengetahui kedudukan suspek dipohon untuk menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau Asisten Superintendan Khairul Fairoz Rodzuan di talian 017-398 3498,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 15 Ogos lalu, sub kontrakor, Abu Bakar Subianto, 33, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap dua pertuduhan iaitu cuba merompak penghantar makanan Grab Food dan mencederakan mangsa.

Harian Metro sebelum ini melaporkan penghantar makanan Grab Food bergelut dengan dua lelaki bagi menyelamatkan Yamaha Y15zr miliknya dari cuba disamun di Phileo Damansara.

Dalam kejadian 2.53 petang itu, mangsa yang berusia 22 tahun dalam perjalanan menghantar makanan kepada pelanggan di Phileo Damansara 2, sebelum dihampiri suspek yang menaiki sebuah Yamaha 125z.

Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian telinga, kepala, belakang badan dan mulut, namun tidak mengalami sebarang kerugian selepas motosikalnya gagal dilarikan.

Kejadian itu tular di media sosial menerusi satu video dipercayai dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

Tak mengaku nak rompak penghantar makanan [METROTV]

Dakwa suspek esok

Mana kau nak sembunyi?

Seorang dah kena 'kutip'... [METROTV]

Tunggu kena 'kutip' je la...

Demi 'Ysuku'... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 4:25 PM