LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai ambulans yang melalui lorong kecemasan lebuh raya terbalik selepas dilanggar SUV.
Khairul Najib Asarulah Khan


POLIS meminta pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabit dalam kemalangan dengan ambulans swasta di Kilometer 25.9 Lebuhraya Karak arah Gombak, Ahad lalu tampil untuk membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, sehingga kini pihaknya hanya menerima laporan berhubung kemalangan itu daripada pemandu ambulans yang tampil ke balai polis, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya meminta pemandu SUV itu turut tampil bagi melengkapkan siasatan berhubung kemalangan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, kejadian 7.50 malam itu berlaku ketika ambulans swasta dipandu lelaki berusia 49 tahun terbabit dalam perjalanan dari Bentong menuju Kuala Lumpur di lorong kecemasan dengan memasang siren dan lampu kecemasan.

“Secara tiba-tiba, pemandu SUV itu mengubah laluan lalu melanggar ambulans itu mengakibatkan kenderaan itu masuk ke dalam longkang.

“Ia mengakibatkan ambulans itu rosak di bahagian hadapan dan belakang sebelah kiri serta cermin pintu hadapan pecah manakala SUV itu rosak di bahagian kiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azman berkata, tiada mangsa cedera akibat kemalangan itu dan kes itu sebelum ini diselesaikan bersama tanpa membuat laporan polis.

“Namun polis meminta mereka tampil membuat laporan disebabkan membabitkan kepentingan awam.

“Siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dalam keadaan melulu sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Portal berita Harian Metro sebelum ini melaporkan kejadian itu dirakam menerusi kamera ‘dashcam’ daripada kenderaan yang melalui jalan berkenaan.

Video berdurasi 15 saat tular di laman sosial itu mengundang kemarahan netizen apabila mereka mengecam pemandu SUV itu disebabkan memandu secara melulu tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Berita berkaitan

'Ambulans terbalik dirempuh SUV'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 8:45 PM