MOHD Amin (kanan) dan Mohd Khairul meneliti pokok ketapang yang tumbang di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.


ALOR GAJAH: Sekumpulan nelayan di Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah di sini, terpaksa memindahkan perahu masing-masing bagi mengelakkannya dihempap pokok tumbang akibat hakisan pantai.

Perahu gentian kaca itu dipindahkan ke Balai Nelayan Pengkalan Balak, kira-kira 100 meter dari pangkalan itu bagi memastikan keselamatan perahu masing-masing.

Langkah itu diambil kerana tidak mahu menanggung risiko perahu bernilai antara RM5,000 hingga RM10,000 seunit itu rosak atau musnah dihempap pokok.

Nelayan Mohd Amin Fuad Ramli, 25, berkata, Jumaat lalu pokok ketapang tumbang dan menghempap sebuah perahu, tetapi pemiliknya bernasib baik kerana perahunya hanya terkena dahan kecil.

“Berikutan kejadian itu saya dan nelayan lain memindahkan perahu masing-masing ke balai nelayan,” katanya ketika ditemui di pangkalan berkenaan di sini, semalam.

Nelayan, Mohd Khairul Azhar, 30, berkata, satu daripada dua pokok ketapang sudah tumbang tetapi tidak menimpa perahu manakala sebatang lagi tersandar pada bumbung stor peralatan menangkap ikan.

“Ia kini menunggu masa untuk rebah,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan nelayan di pangkalan itu sukar menolak perahu turun ke persisiran pantai berikutan hakisan pantai menyebabkan tebing pangkalan menjadi semakin tinggi dan menyukarkan mereka turun menolak perahu.

Masalah hakisan pantai berpunca daripada angin selatan yang bertiup sejak awal Julai lalu menjadi semakin serius berikutan fenomena air pasang besar sejak tiga hari lalu.

Ia boleh menyebabkan risiko pokok ketapang di pangkalan itu tumbang dan menimpa nelayan serta perahu.

Tiada kaedah lain untuk sekumpulan sembilan nelayan menyelamatkan perahu masing-masing daripada dihempap pokok tumbang akibat hakisan pantai, selain daripada memindahkannya ke lokasi selamat.

Setakat ini tujuh daripada sembilan nelayan terbabit yang menyimpan perahu di bawah pokok di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah di sini sudah memindahkan perahu ke Balai Nelayan Pengkalan Balak, 100 meter dari pangkalan itu bagi memastikan keselamatan perahu masing-masing.

Mereka tidak mahu menanggung risiko perahu gentian kaca yang bernilai antara RM5,000 hingga RM10,000 seunit itu rosak atau musnah dihempap pokok di tepi pantai yang semakin condong akibat hakisan pantai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 5:40 AM