Mohd Husni Mohd Noor


YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengejutkan pengunjung di sebuah restoran di Ayer8, Presint 8, di Putrajaya, hari ini, apabila hadir untuk santapan bersama barisan pegawainya.

Baginda mengunjungi restoran itu selepas selesai majlis menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Wan Azizah di Istana Melawati, di Putrajaya.

Dr Wan Azizah menghadap baginda pagi ini sebelum mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri.

Rakaman tiga keping gambar baginda sedang menikmati santapan dan satu video ketibaan baginda dimuat naik menerusi akaun Instagram (IG) istana_negara.

Lebih manis, kunjungan baginda di restoran turut dikomen Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar pada ruangan komen dengan titah “sedapnya....” yang kemudian menerima lebih 200 tanda suka.

Setakat jam 12.30 tengah hari tadi, video ketibaan baginda di restoran berkenaan ditontoni lebih 35,581 tontotan dan tiga keping yang dimuat naik menerima tanda ‘suka’ lebih 5,279.

Berdasarkan rakaman gambar yang dimuat naik, baginda kelihatan menikmati sarapan bersama Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dan Datuk Paduka Maharajela Azuan Effendy Zairakitnain.

Difahamkan, baginda menikmati segelas teh tarik dan turut kelihatan di atas meja baginda adalah tiga mangkuk berisi lauk.

Kehadiran baginda di restoran berkenaan turut menarik perhatian pengunjung yang turut mengambil kesempatan menyapa baginda.

Sultan Abdullah tiba di restoran berkenaan dengan menaiki kenderaan rasmi baginda sebelum berjalan menuju ke ruang makan.

Baginda kemudian disapa seorang wanita dipercayai pemilik restoran berkenaan.

Ini bukan kali pertama baginda melakukan kejutan untuk bersantap malah, baginda dan Raja Permaisuri Agong serta beberapa orang anak baginda pernah menikmati minum petang di Umai Cafe yang terletak di Presint 2, pada 7 Februari lalu selain beratur untuk membeli makanan di KFC Temerloh pada 21 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 1:20 PM
AL-SULTAN Abdullah (dua dari kanan) ketika berkunjung ke restoran berkenaan. FOTO ihsan IG istana_negara.