FUZIYAH. FOTO Ihsan Pembaca
Ravale Savarinathan


PERKELAHAN di Temoh, Tapah Ahad lalu menjadi kenangan terakhir buat keluarga Fuziyah Sarjuni, 62, sebelum pesara itu maut dalam kemalangan di Kilometer 32 Jalan Langkap - Kampar berhampiran simpang Klinik Desa Tanjung Keramat, dekat Teluk Intan, semalam.

Adiknya, Khairunnizam Sarjuni berkata, arwah kakaknya itu yang sebelum ini berkhidmat di Institut Tanah Dan Ukur Negara, Tanjung Malim, masih bujang dan sangat menyayangi anak saudara serta cucu saudara selain anak jirannya.

Menurutnya, arwah sering mengajak ahli keluarga untuk keluar beriadah dan Ahad lalu dia berjaya mengumpul semua ahli keluarga untuk berkelah di Temoh.

“Kakak bersungguh-sungguh mengumpulkan ahli keluarga untuk berkelah dan kami sekeluarga tidak menyangka ia adalah pertemuan terakhir serta petanda arwah akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.

“Arwah tidak pernah berkahwin dan setiap kali ditanya mengenainya, dia hanya menjawab tiada jodoh.

“Namun kakak sangat menyayangi kanak-kanak, termasuk semua anak arwah Faridah yang tinggal bersebelahan rumah,” katanya ketika ditemui menziarah kubur kakaknya itu di Tanah Perkuburan Changkat Petai, Teluk Intan, hari ini.

Khairunnizam berkata, jenazah kakak serta anak saudaranya Farah Ain Salim, 19, selamat dikebumikan dalam satu liang lahat kira-kira 12 tengah malam tadi.

Difahamkan jenazah Faridah Md Nayen, 38, yang sarat mengandung 35 minggu pula dikebumikan dalam satu liang lahat bersama bayinya yang sudah cukup sifat pada 3 pagi tadi selepas selesai proses bedah siasat.

Berita berkaitan

'Arwah hanya tunggu hari bersalin'

Wanita mengandung antara 3 maut

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 3:17 PM