FOTO Hiasan
BERNAMA

WANG RM4.901 juta yang disita daripada Yayasan Permata Malaysia didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini menjadi hak Kerajaan Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nik Haslinie Hashim memohon satu perintah kepada mahkamah supaya harta itu dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Yayasan Permata Malaysia yang kini dikenali sebagai Yayasan GENIUS Malaysia diwakili Setiausaha Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu, Dr Noraisah Spahat memberitahu mahkamah pihaknya bersetuju dan tidak membantah harta itu dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

“Yayasan bersetuju untuk tidak menuntut harta itu dan bersetuju menyerahkan wang itu kepada Kerajaan Malaysia,” katanya ketika ditanya Hakim Sequerah sama ada yayasan membantah atau tidak terhadap permohonan lucut hak itu.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwa raya mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sementara itu, dalam kes bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam, pendakwaan memaklumkan bahawa penyiaran pewartaan notis untuk pihak ketiga sudah dibuat dan notis umum difailkan melalui sistem e-filing pada 22 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Nik Haslinie berkata, tiada pihak ketiga hadir ke mahkamah untuk menuntut aset yang disita daripada Kasitah dan mahkamah menetapkan 10 September ini untuk pendengaran permohonan lucut hak.

Kasitah yang tidak diwakili peguam hadir ke mahkamah.

Pemohon (pendakwaan) turut memberitahu mahkamah bahawa pewartaan notis kepada pihak ketiga disiarkan dalam kes lucut hak membabitkan tujuh pihak lain namun tiada mana-mana pihak ketiga hadir ke mahkamah untuk menuntut harta itu.

Tujuh pihak itu ialah ahli perniagaan Tan Sri Bustari Yusuf; Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor; Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor; Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP); Jakel Trading; Mediaedge Cia Malaysia Sdn Bhd dan Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM).

Peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin mewakili Bustari dan mahkamah menetapkan 4 Oktober ini untuk pendengaran kes itu.

Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor diwakili peguam Mohd Haziq Dhiyauddin Razali; Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor diwakili peguam Haslina Lily manakala peguam Datuk Jagjit Singh bertindak bagi LDP Sabah.

Jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak ialah RM677,872.55 dari Badan Perhubungan UMNO Johor dan LDP Sabah berjumlah RM509,560.96.

Mahkamah menetapkan 4 Oktober ini untuk pendengaran kes membabitkan UMNO Johor, 18 Oktober bagi UMNO Selangor dan LDP Sabah serta 1 November untuk mendengar kes Mediaedge Cia yang diwakili peguam S Gopal manakala 8 November ini bagi PBAKM yang diwakili peguam Adzly Ab Manas dan 25 Oktober ini bagi kes Jakel Trading.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 3:37 PM