Sarah Zulkifli

BEKAS amil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas dua pertuduhan pecah amanah wang kutipan zakat berjumlah RM4,750, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Raffi Md Rawi, 29, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

Tertuduh dilihat tenang sepanjang prosiding itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa sebagai Pegawai Zakat (amil zakat) yang telah diamanahkan dengan wang masing-masing berjumlah RM1,750 dan RM3,000 sudah melakukan pecah amanah jenayah dengan menjadikan kedua-dua wang itu untuk kegunaannya sendiri.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kaunter Kutipan Zakat Lembaga Zakat Selangor Cawangan Taman Melawati di Kuala Lumpur, pada 24 Julai 2018 dan 12 April 2019.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan pertuduhan yang dihadapi tertuduh tidak boleh diikat jamin.

“Tertuduh juga berpotensi untuk melarikan diri,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Raffi yang tidak diwakili peguam merayu agar diberikan ikat jamin kerana mempunyai tanggungan keluarga dan berjanji tidak akan melarikan diri.

Norhazani membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan 7 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 1:23 PM
MUHAMMAD Raffi dibawa keluar dari mahkamah. FOTO Mahzir Mat Isa