Mohamad Hendra Iskandar kini terlantar selepas tulang belakang dan kaki kirinya patah akibat terjatuh pokok kelapa. FOTO Ihsan Keluarga
Mohamad Hendra Iskandar kini terlantar selepas tulang belakang dan kaki kirinya patah akibat terjatuh pokok kelapa. FOTO Ihsan Keluarga
Siti Nor Hidayatidayu Razali


REMAJA berusia 18 tahun terlantar akibat tulang belakang dan kaki kirinya patah selepas terjatuh pokok kelapa pada ketinggian 12 meter.

Ibunya, Nor Fatmawati Omar, 37, berkata, anak sulung daripada empat beradik, Mohamad Hendra Iskandar Azman terjatuh pokok kelapa pada 2 petang dua minggu lalu.

Dia yang tinggal di Kampung Pantai Senok, Kota Bharu berkata, ketika kejadian anaknya mengikut rakannya yang bekerja sebagai pemetik kelapa dan dia memanjat pokok untuk memetik kelapa sebelum terjatuh.

“Ketika kejadian saya bekerja di kedai makan dan dimaklumkan kejadian menimpa anak terus bergegas ke lokasi.

“Sebaik sampai, saya dapati anak tidak sedarkan diri mungkin kesan terjatuh tempat tinggi sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Beris Panchor dengan ambulans dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Kejadian itu menyebabkan anak saya terlantar dan kini tidak dapat menguruskan diri serta perlu pakai lampin pakai buang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nor Fatmawati berkata, hari ini anaknya menjalani pembedahan di bahagian tulang belakang atas ihsan hospital.

Menurutnya, kejadian itu juga menyebabkannya dan suami tidak dapat bekerja kerana perlu menguruskan anak-anak termasuk yang sulung diuruskan olehnya manakala dua yang masih bersekolah diuruskan suaminya.

Katanya, disebabkan tidak boleh bekerja mereka kesempitan wang dan berharap ada pihak sudi membantu meringankan beban.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 03018021034509 atas nama Nor Fatmawati Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 3:19 PM