MOHD Syamsul (kiri), Azamuddin (tengah) dan Yusshashideff dikehendaki polis. FOTO Ihsan Polis
Mohd Khidir Zakaria


MEMAKAI vest dan topi dengan logo polis, namun sebenarnya tiga lelaki ini adalah penyangak yang cuba menyamun peniaga daging di Jalan Taman Jimah Jaya, Site C di Port Dickson, petang semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian 2.30 petang itu, seorang daripada suspek dipercayai tercicir dompetnya yang mengandungi pengenalan diri ketika bergelut dengan mangsa.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, susulan kejadian itu, pihaknya kini sedang mengesan tiga lelaki yang berusia 20 hingga 34 tahun, dipercayai terbabit menyamar sebagai polis dan cuba menyamun lelaki berusia 47 tahun.

Beliau berkata, suspek dikenali sebagai Yusshashideff Erwin Mohamad Yusof, 20, beralamat di Taman Pengkalan Jaya, Ipoh, Perak; Azamuddin Mohd Top, 34, dari Kampung Sungai Sudah Darat, Mukim Sungai Balang, Muar, Johor dan Mohd Syamsul Bahari Zulkifli, 27, beralamat di Taman Sri Lalang, Kluang, Johor.

“Ketika kejadian, mangsa yang sedang memandu kereta dihalang sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger berwarna kelabu yang dinaiki suspek di tepi jalan berhampiran Taman Jimah Jaya.

“Tiga lelaki dengan seorang daripadanya memakai vest dan topi berlambang polis terus masuk ke dalam kenderaan mangsa sebelum lelaki itu bertindak melawan dan bergelut dengan suspek yang bersenjatakan parang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson, hari ini.


AIDI Sham menunjukkan parang dan topi polis yang ditinggalkan suspek di tempat kejadian. FOTO Mohd Khidir Zakaria

Mengulas lanjut, Aidi Sham berkata, ketika bergelut dengan suspek, mangsa berjaya merampas parang daripada seorang suspek dan bertindak menjerit meminta bantuan orang awam.

“Apabila mangsa menjerit, semua suspek melarikan diri. Ketika pergelutan itu, seorang suspek tercicir dompet berwarna hitam yang mengandungi dokumen pengenalan diri, kad bank, lesen memandu dan dua gambar pasport.

“Polis juga ada menjumpai topi berlambang polis dan dua parang yang digunakan suspek di lokasi kejadian. Usaha untuk mengesan dan tangkap suspek kini sedang giat dilakukan,” katanya.

Aidi Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang ada maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Najeeb Shukri di talian 011-26001274 atau 06-6472222.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 6:08 PM