TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memberi ciapan balas terhadap gambar yang dimuat naik Muhammad Syafiq. FOTO ihsan Muhammad Syafiq Azmim
Redzuan Muharam


“MULANYA saya takut untuk memuatnaik gambar berkenaan kerana bimbang disalah erti tetapi lega selepas menerima maklum balas positif daripada baginda (Raja Permaisuri Agong),” kata pereka dan pemilik butik pengantin Syafiq Azmim Bridal, Muhammad Syafiq Azmim, 24.

Muhammad Syafiq mencuri perhatian selepas memuatnaik gambar bersama tunangnya, Khairunnisa Khairuddin, 23, memakai busana pengantin dengan rekaan seperti persalinan yang pernah digayakan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika berangkat ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke -16 pada 30 Julai lalu.

Gambar itu dimuat naik bersama kapsyen: ‘Sejuk juga hati dapat tengok orang tersayang pakai baju dan berpakaian menutup aurat macam ni. Kita jadikan inspirasi cara pakaian Tuanku Permaisuri Agong @cheminahsayang yang sangat sopan dan sejuk mata memandang. Semoga Tuanku sentiasa dilindungi Allah SWT. Amin.’

Menerusi ciapan balas, baginda menciap ‘Cutenya’ (comelnya) dan respon baginda itu mendapat pujian daripada warganet.

Menceritakan perkara sebenar, Muhammad Syafiq berkata, gambar bersama tunangnya itu diambil ketika sesi fotografi pra perkahwinan di kelab Golf Bentong, Pahang, 31 Ogos lalu dan dimuat naik keesokan harinya.

Menurutnya, busana pengantin itu adalah hasil rekaannya bersama rakan kongsi, Aizam Amir Hamzah, 24, dan mengambil masa selama 11 jam saja disiapkan.

“Busana diperbuat daripada kain songket itu disiapkan pada saat akhir iaitu sehari sebelum sesi fotografi dan ikutkan, ia belum siap sepenuhnya kerana tiada perincian.

“Memandangkan masa sudah suntuk, saya lengkapkan dengan aksesori dan pada awalnya, saya hasilkan busana serupa dengan warna lain iaitu ungu, kelabu dan hijau .

“Namun, saya ambil keputusan memilih kombinasi rona krim serta kuning keemasan bersesuaian ‘mood’ raja sehari dan menjadikan Tunku Azizah sebagai inspirasi kerana merasakan baginda adalah suri teladan bagi wanita di negara ini.

“Tak sangka pula, perkongsian gambar busana itu mendapat perhatian baginda dan tular di laman sosial kerana ini kali pertama saya hasilkan pakaian dalam tempoh yang singkat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Pemuda kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu berkata, sejak gambar dimuat naiknya tular di laman sosial, banyak maklum balas positif diterima selain tempahan menghasilkan busana serupa.

Muhammad Syafiq bersyukur dan berharap penerimaan baik itu membuka jalan untuknya mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakannya sejak berumur 19 tahun itu.

“Bukan saja saya dan tunang tetapi keluarga juga bimbang jika perkongsian gambar tempoh hari memberi kesan buruk dan persepsi negatif.

“Namun, sebaliknya berlaku apabila ramai memuji hasil kerja saya dan rakan kongsi. Ikutkan, saya mahu menjadikan busana itu sebagai koleksi Aidilfitri akan datang tetapi sudah ramai yang menghantar kiriman Whatsapp untuk membuat tempahan sejak beberapa hari lalu.

“Saya anggap itu sebagai rezeki dan berharap rekaan busana itu dapat memenuhi keperluan Muslimah serta mereka yang gemarkan gaya ringkas tetapi nampak mewah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 6:30 PM