ISHAK (tiga dari kanan) melelong barang dengan harga istimewa kepada pengunjung selepas Majlis Pelancaran Program Bazar Peduli Rakyat dan Penyerahan Bantuan Jom Kongsi Rezeki My Food For Ummah di Manir, semalam.
ISHAK (tiga dari kanan) melelong barang dengan harga istimewa kepada pengunjung selepas Majlis Pelancaran Program Bazar Peduli Rakyat dan Penyerahan Bantuan Jom Kongsi Rezeki My Food For Ummah di Manir, semalam.
Ahmad Rabiul Zulkifli


KUALA TERENGGANU: Penganjuran Program Bazaar Peduli Rakyat (BPR) di seluruh negeri sejak Februari lalu bukan sekadar menawarkan harga rendah tetapi turut menyediakan kaunter khas bagi menerima sumbangan orang ramai.

Sumbangan berbentuk barangan segar dan bahan mentah itu disalurkan pengunjung melalui Kaunter My Food For Ummah (MFFU) yang disediakan di BPR.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Ishak Ismail berkata, program BPR itu bermula di Pulau Pinang pada Februari lalu sebelum ke Terengganu yang menjadi lokasi keenam selepas penganjuran di Selangor, Ogos lalu.

“BPR menawarkan harga 40 hingga 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran sekali gus meringankan beban pengguna dan ia ialah jualan terus daripada ladang tanpa orang tengah.

“Pada BPR kali ini kami menawarkan harga manggis dan rambutan hanya RM1 sekilogram, manakala ayam berharga RM7.50 diturunkan kepada RM6.50 sekilogram.

“Ikan tongkol berharga RM10 dijual pada harga RM7 sekilogram serta tomato berharga RM7 hanya dijual pada harga RM5.50 sahaja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran BPR di pekarangan Pejabat MARDI Manir di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Alimin dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.

Ishak berkata, program BPR akan diteruskan sekurang-kurangnya sebulan sekali di seluruh negeri.

Katanya, sehingga kini program terbabit sudah dilaksanakan di enam lokasi hasil kerjasama tiga agensi itu FAMA, LPP dan LKIM membabitkan 50 peniaga serta usahawan di setiap lokasi.

“Lokasi seterusnya di Perak yang dijadualkan pada akhir September ini.

“Penganjuran BPR itu diharap memberi manfaat bukan saja kepada pengguna tetapi juga kepada peniaga dan usahawan.

“Melalui program ini masalah lambakan hasil pertanian juga dapat dielakkan dan pengguna juga dapat membeli dengan harga yang murah,” katanya.

Menurutnya, kewujudan kaunter MFFU di bawah seliaan Yayasan Prihatin Insan (YPI) juga membantu golongan miskin dan tidak berkemampuan.

“Sehingga kini seramai 300 penduduk yang memerlukan dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima manfaat daripada program yang dianjurkan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 6:00 AM