Aidi Sham (kanan) menunjukkan motosikal yang dirampas daripada Geng Intan Perdana. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


BARU berusia belasan tahun, namun tiga remaja dikesan terbabit dalam kes curi sekurang-kurangnya 11 motosikal di Port Dickson dan Melaka dalam masa tiga minggu.

Malah remaja yang dikenali sebagai Geng Intan Perdana itu turut dikesan mengubahsuai motosikal yang dicuri termasuk meleraikan komponen untuk dijadikan alat ganti bagi tujuan lumba haram.

Bagaimanapun, kegiatan mereka dihidu polis sebelum ditahan 5 petang 25 Ogos lalu di Taman Intan Perdana di sini oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Alor Gajah.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dua daripada suspek didapati masih bersekolah manakala seorang lagi sudah tidak bersekolah.

“Mereka ditahan polis IPD Alor Gajah di Taman Intan Perdana. Suspek berusia 16 dan 17 tahun itu mengaku mencuri 10 motosikal di Port Dickson dan satu di Melaka.

“Hasil siasatan, kumpulan remaja ini dipercayai aktif mencuri motosikal dalam masa tiga minggu sebelum ditahan,” katanya pada sidang media di IPD Port Dickson semalam.

Katanya, hasil siasatan juga mendapati, selain terbabit dalam jenayah curi motosikal, suspek juga dikesan mengubahsuai motosikal khusus untuk perlumbaan haram.

“Ada sebahagian motosikal yang dicuri sudah dileraikan termasuk enjin motosikal untuk dijadikan alat ganti dan ia dipercayai digunakan untuk perlumbaan haram.

“Semua suspek kini ditahan reman lima hari bermula Isnin lalu sehingga hari ini untuk melengkapkan siasatan. Terdahulu suspek sudah direman di IPD Alor Gajah sebelum diserahkan ke IPD Port Dickson,” katanya.

Aidi Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 11:57 AM