Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN wanita Filipina membuat laporan palsu konon diragut mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, perkara itu terbongkar semasa pegawai polis merakam percakapan suspek berusia 24 tahun kerana memberikan jawapan tidak konsisten dan meragukan.

Menurutnya, suspek pada mulanya membuat laporan kononnya dia diragut dua lelaki bermotosikal ketika berjalan di hadapan sebuah restoran makanan segera di Jalan Sri Jati, Petaling pada jam 11.30 pagi, 2 September lalu.

“Bagaimanapun ketika rakaman percakapan, suspek mengaku laporan polis dibuatnya adalah tidak benar.

“Dia membuat laporan polis itu bagi mendapatkan pasport baru di Kedutaan Filipina kerana pasportnya disimpan ejen. Dia berdepan masalah kerana melarikan diri daripada majikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

“Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak sesuka hati membuat laporan polis palsu semata-mata untuk mengelak dikenakan bayaran untuk gantian dokumen seperti pasport atau kad pengenalan.

“Perbuatan itu adalah satu kesalahan dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 4:16 PM