Hidayatul Akmal Ahmad


“PERASAAN yang paling sukar digambarkan apabila mengumumkan kematian rakan seangkatan yang sudah dianggap seperti keluarga. Hanya Allah yang tahu rasa itu.”

Demikian kata Timbalan Dekan (Perkhidmatan Klinikal) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh, Prof Madya Dr Ahmad Izuanuddin Ismail selepas kematian rakan sejawatnya, Dr Noor Izham Ismail yang maut dalam kemalangan di Jalan Hospital menghala ke UiTM berdekatan Kampus Perubatan, Sungai Buloh, semalam.

Menurutnya, dia adalah insan yang pertama sampai di wad kecemasan Hospital Sungai Buloh selepas dihubungi kakitangannya memaklumkan kemalangan itu.

“Saya cuba lakukan sebaik mungkin untuk menyelamatkan beliau. Apa saja cara dilakukan bersama seorang lagi pakar jantung. Namun Allah lebih menyayanginya.

“Perasaan ketika itu tidak boleh digambarkan apatah lagi apabila perlu mengumumkan sendiri kematian rakan seangkatan,” katanya ketika ditemui di UiTM Sungai Buloh, hari ini.

Izuanuddin berkata, kali terakhir beliau berjumpa arwah pada 4 September lalu ketika solat Zohor di Masjid Ibnu Sina di Hospital Sungai Buloh.

“Ketika itu kami berborak seperti biasa dan tiada apa yang pelik. Arwah adalah seorang yang mudah senyum dan ‘easy going’.

“Sepanjang hampir lapan tahun mengenali arwah, beliau adalah seorang bapa dan suami yang bertanggungjawab. Arwah memang berulang-alik dari Kajang ke Sungai Buloh menaiki motosikal setiap hari,” katanya.

Semalam, portal Harian Metro melaporkan doktor pakar jantung maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh tiang lampu di Jalan Hospital menghala ke UiTM berdekatan Kampus Perubatan.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Namun, pada jam 9.50 pagi doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Berita berkaitan

Ajal pakar jantung

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 5:00 PM