Keadaan remaja yang dibelasah tiga lelaki termasuk teman lelakinya. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


SUDAHLAH mengandung lima bulan, mangsa turut dibelasah dan ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah.

Itu penderitaan dialami remaja perempuan berusia 18 tahun yang menjadi mangsa belasahan tiga lelaki termasuk teman lelakinya, 18, di tepi jalan belakang Kolej Vokasional Setapak, Kuala Lumpur Isnin lalu.

Selepas ditinggalkan, mangsa yang tidak bermaya berjalan dengan berlumuran darah pada muka ke arah kedai berdekatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari untuk meminta bantuan pada 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pekerja kedai terbabit bagaimanapun tidak berani menghantarnya.

Beliau berkata, penduduk menghubungi ahli keluarga mangsa memaklumkan kejadian itu sebelum dia dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa pada mulanya dibawa keluar teman lelakinya pada 9.30 malam dengan motosikal untuk ke Uptown Danau Kota.

“Kebiasaannya mereka melalui jalan lain namun suspek memberi alasan laluan itu ada sekatan polis sebelum dia melalui lorong di belakang Kolej Vokasional Setapak.

“Namun tiba-tiba mereka ditahan lelaki yang mengarahkan enjin motosikal dimatikan sebelum mangsa ditarik seorang lagi lelaki dan terus dipukul pada muka sehingga tidak bermaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rajab berkata, selepas dipukul mangsa turut ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan tidak bermaya sebelum dia meminta bantuan penduduk berhampiran.

“Akibat kejadian itu, mangsa bengkak pada bahagian muka dan luka bahagian atas kepala.

“Bapa mangsa juga tampil membuat laporan polis kelmarin,” katanya.

Beliau berkata, susulan laporan itu, polis kemudian mengesan suspek sebelum menahan ketiga-tiganya bagi membantu siasatan.

“Mereka mengaku terbabit dalam kejadian itu kerana mangsa sering memberi tekanan terhadap suspek untuk bertanggungjawab di atas kandungannya yang berusia lima bulan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 7:07 PM