REMAJA lelaki lembam hidup bergelandangan sejak Jun lalu.
Nor Farhani Che Ad


SUNGAI PETANI: Seorang remaja lelaki lembam yang mendakwa berdepan masalah keluarga hidup bergelandangan dengan mengharapkan simpati masyarakat sejak Jun lalu.

Remaja berusia 17 tahun itu diselamatkan Pertubuhan Menangani Gejala Sosial (Unggas) Malaysia di kaki lima sebuah bank di sini, semalam.

Presidennya, Kamaruddin Kassim berkata, melalui maklumat orang awam, pihaknya berjaya mengesan remaja itu yang ditemui dalam keadaan tidak terurus dengan beberapa kesan luka di badan.

Beliau berkata, melalui perbualan dengan remaja itu, dia anak sulung kepada sembilan beradik dan tinggal bersama datuk dan nenek mereka di Taman Sri Wang di sini, kerana ibu bapa mereka menghilangkan diri.

“Dia mendakwa pernah tinggal di sebuah pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Negeri Sembilan sekitar 2014 sebelum melarikan atas sebab tertentu.

“Selepas melarikan diri dua tahun lalu dia pulang ke Kedah dengan menaiki kereta api,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kamaruddin berkata, selepas pulang semula ke Kedah, remaja itu sempat bersekolah beberapa bulan sebelum mengambil keputusan berhenti kerana tidak berminat untuk menyambung persekolahan.

Katanya, neneknya yang bekerja sebagai peniaga laksa dan datuk sebagai pengawal keselamatan meletakkan syarat sama ada dia meneruskan persekolahan atau bekerja sekiranya dia mahu terus tinggal bersama mereka.

“Dia mendakwa tidak diterima bekerja kerana tidak mempunyai kad pengenalan dan kad orang kurang upaya (OKU) yang ada dalam simpanan ibunya.

“Oleh sebab dia tidak mahu menyusahkan nenek dan datuknya, dia keluar dari rumah mereka dan hidup melarat seperti sekarang,” katanya.

Remaja itu dikatakan menumpang tidur di sebuah surau di Taman Patani Jaya dan mengharapkan belas ihsan masyarakat untuk mendapatkan makanan.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, pihaknya akan membawa remaja berkenaan ke pejabat JKM Kuala Muda pada Ahad ini untuk tindakan lanjut.

“Kita akan pastikan remaja ini mendapat tempat perlindungan semula dan penjagaan yang baik memandangkan dia berstatus OKU,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Nor Harina Ayob berkata, beliau sudah meminta pegawainya menjalankan siasatan berhubung kes itu.

“Kami perlu siasat dakwaan remaja itu terlebih dahulu sebelum tindakan diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 6:00 AM