Lokasi kemalangan warga emas yang maut dirempuh ketika melintas jalan. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Farhani Che Ad


WARGA emas maut selepas dirempuh kereta ketika melintas jalan di Kilometer 13 Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil berdekatan Simpang 3 ke Kampung Jerong, Sungai Petani malam tadi.

Dalam kejadian 12.10 tengah malam itu, Khamis Saad, 63, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa melintas jalan raya secara tiba-tiba.

“Ketika itu, kereta terbabit dari arah Kuala Ketil menghala ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sungai Petani.

“Kereta itu tidak sempat mengelak mangsa yang melintas jalan secara tiba-tiba lalu melanggar warga emas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas bonet hadapan dan kepala mangsa terhentak pada cermin hadapan kiri kereta terbabit.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 10:31 AM