LAPORAN portal Harian Metro.
Nor Farhani Che Ad


REMAJA lembam berusia 17 yang ditemui hidup bergelandangan di sekitar Sungai Petani semalam pernah mendapat bimbingan daripada pengurusan Surau Abu Bakar As-Siddiq, Taman Patani Jaya, Sungai Petani.

Menurut Pengerusi Surau itu, Mohamad Munir Tajudin, bagaimanapun remaja terbabit seolah-olah enggan dibantu dan tetap meneruskan kehidupan sedemikian.

Katanya, surau berkenaan antara yang menjadi lokasi persinggahan remaja orang kurang upaya (OKU) pada waktu malam.

“Memandangkan surau ini terletak di kawasan berdekatan pusat bandar, jadi selalunya surau ini antara yang menjadi persinggahan gelandangan termasuk remaja itu.

“Kami menyedari kehadirannya sejak 2017 lagi dan pelbagai usaha dilakukan termasuk menawarkan untuk membawa ke pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun dia menolak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Munir berkata, biasanya remaja OKU berkenaan akan singgah di surau berkenaan pada waktu malam sehingga subuh.

Katanya, pihak surau mengenali ahli keluarga terdekat termasuk nenek remaja terbabit dan difahamkan tindakan remaja itu untuk keluar dari rumah neneknya atas kerelaan sendiri.

Dalam pada itu, Mohamad Munir berkata, pengurusan surau mengalu-alukan usaha Pertubuhan Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) Malaysia untuk membantu remaja berkenaan.

“Kami bersyukur ada pihak yang sudi membantu remaja ini dan diharapkan remaja ini dapat menjalani kehidupan yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden UNGGAS Malaysia, Kamaruddin Kassim berkata, pihaknya masih memantau keadaan remaja itu sehingga dia dibawa ke pejabat JKM esok.

“Difahamkan, remaja ini masih berhubung dengan ahli keluarganya dan keluarganya juga sedia maklum dengan situasinya ketika ini.

“Jadi, sementara menunggu siasatan dilakukan oleh JKM, kami akan sentiasa memantau remaja itu bagi memastikan dia berada dalam keadaan yang selamat,” katanya.

Dalam pada itu, ketika tinjauan dilakukan di kaki lima sebuah bank di sini yang kebiasaan menjadi tempat remaja itu berehat, dia tiada di lokasi berkenaan serta kawasan sekitarnya.

Berita berkaitan

Remaja lembam hidup terbuang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 2:17 PM