PEMANDANGAN berjerbu di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Hafiz Sohaimi
Siti A’isyah Sukaimi


AGENSI Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sentiasa memantau indeks kualiti udara dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kejadian bencana yang berlaku di seluruh negara.

Menerusi Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana Jerebu dikeluarkan NDCC, pihaknya sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat berkenaan bencana dan bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui talian 03-80642400, faks 03-80635420 dan emel [email protected].

“Berdasarkan pemantauan terhadap Bacaan Indeks Pecemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan oleh JAS, NDCC mendapati beberapa kawasan di seluruh negara menghadapi kemerosotan kualiti udara terutama di bahagian Kuching, Sri Aman, Samarahan, Sarikei, Mukah dan Miri, Sarawak.

“Sejak 4 September lalu, IPU di bahagian berkenaan berada di paras tidak sihat dan sangat tidak sihat. Sehingga kini, bacaan tahap IPU masih lagi berada pada paras tidak sihat dan sangat tidak sihat,” katanya, hari ini.

Notis itu menyebut, sehubungan itu, adalah dinasihatkan supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah diaktifkan dan segala tindak balas diambil berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

“Semua Pusat Operasi/Kawalan Bencana Peringkat Pusat hendaklah memanjangkan notis ini ke peringkat negeri dan daerah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 7:38 PM