Rakaman video sorakan Omar Saiful yang tular selepas di muat naik oleh Nadiya di IG. Omar Saiful (gambar kecil)
Amirul Haswendy Ashari.


SORAKAN penuh emosi gol kemenangan jaringan Mohamadou Sumareh ketika Malaysia menentang Indonesia dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Khamis lalu membawa tuah buat Omar Saiful Razman, 8.

Walaupun hanya menonton di televisyen, sorakan anak sulong kepada pelakon Nadiya Nisaa, 35, itu mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan menjemputnya menonton perlawanan Malaysia menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September ini.

Sorakan kegembiraan Omar Saiful juga yang tular di media sosial selepas rakaman videonya berdurasi 43 saat dimuat naik ke ruangan IG Story pelakon itu tular dan turut menarik perhatian pengacara dan penyampai radio, Fara Fauzana atau lebih dikenali sebagai Fafau.

Nadiya akui tidak menyangka sorakan ‘gol’ dan ‘Sumareh’ oleh anaknya ketika menonton perlawanan Harimau Malaya menentang Indonesia kelmarin boleh tular di media sosial.

Menurutnya, ia menjadi pengalaman yang tidak boleh dilupakan dia sekeluarga.

"Kami terima banyak maklum balas daripada rakyat Malaysia mengenai video Omar Saiful bersorak di rumah selepas Sumareh menjaringkan gol ketika masa kecederaan itu.

“Terharu saya baca kata-kata semangat yang diberikan kepada Omar Saiful. Memang betul lah! Sukan menyatukan kita semua.

“Omar Saiful memang peminat setia sukan bola sepak dan tidak pernah luntur semangatnya bermain dan menyokong pasukan Malaysia.

“Terima kasih semua atas ucapan dan doa buat Omar Saiful dan tak kurang juga yang sedia nak belanja Omar tiket perlawanan,” kata Nadiya.

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-27 itu juga memuat naik hantaran pautan Twitter daripada Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Ahmad Fazli Mohd Yadi yang meminta keizinan daripadanya.

Menerusi pautan itu, Ahmad Fadli memuat naik kenyataan: “Baru lepas bercakap kepada ibu Omar, @nadiyanisaa meminta izin atas permintaan FAM untuk jemput Omar saksi Harimau Malaya bertemu UAE nanti.

“Kami sekeluarga berbesar hati dan Omar pasti teruja,” kongsi Ahmad Fazli di Twitter mengenai maklum balas Nadiya.

Pelakon filem Interchange itu turut berterima kasih kepada FAM dan presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin kerana merealisasikan impian anaknya.

“Insya-Allah kita jumpa di stadium nanti. Terima kasih yang tak terhingga kepada pihak FAM dan Datuk Hamidin kerana merealisasikan impian Omar,” balas Nadiya pula.

Sementara itu, Fafau pula di akaun Twitternya memuat naik kenyataan: "Kenapa nangis? Kalau FAM tak nak belanja biar Kak Fafau belanja.

"Saya pun dah belikan tiket untuk adik semangat Malaysia...Siapa kenal dia? Jom tweet beritahu mama dan papa dia jom ikut 'Aunty' Fafau!," tulis Fara di laman Twitternya namun gembira selepas dapat tahu Omar Saiful ialah anak Nadiya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 9:55 PM