PASUKAN Briged Negaraku melakukan pemeriksaan kesihatan di sekitar Lorong Tuanku Abdul Rahman. FOTO Briged Negaraku
Yusmizal Dolah Aling

KAWASAN di sekitar Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur berisiko menjadi lokasi wabak dalam tempoh lima tahun akan datang berikutan pelbagai penyakit dihidapi mereka yang menghuni di kawasan itu, terutama gelandangan.

Ini kerana pemeriksaan kesihatan mingguan yang dijalankan Briged Negaraku di kawasan terbabit mendapati rata-rata mereka termasuk kanak-kanak terdedah dengan pelbagai penyakit berjangkit kerana tidak mengambil vaksin serta pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh selain persekitaran yang kotor.

Naib Presidennya Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sejak tiga tahun lalu, pihaknya bersama Persatuan Pencinta Muslim Malaysia menjalankan aktiviti menyantuni gelandangan di lokasi itu yang terkenal sebagai rumah jalanan sejak dulu.

Katanya, selain sakit biasa seperti demam, muntah dan cirit birit, antara perkara yang merisaukan ialah kanak-kanak tidak mengambil suntikan vaksin seperti sepatutnya dan mereka terdedah kepada persekitaran kotor dan tidak terurus di situ.

“Ini yang kami bimbang, lama-kelamaan kawasan ini akan menjadi lokasi wabak berdasarkan keadaan semasa.

“Setiap kali kami mengadakan sesi, tidak kurang daripada 80 gelandangan akan menjalani pemeriksaan kesihatan kelolaan pasukan perubatan Briged Negaraku.

“Dari situ, dapat saya simpulkan kawasan ini ibarat bom jangka yang boleh dilanda wabak dalam tempoh lima tahun akan datang jika tidak dicegah.

“Ini didorong faktor persekitaran yang terdedah kepada kekotoran, debu dan asap, manakala anak-anak ini tinggal di situ setiap hari,” katanya di sini, semalam.

Dr Muhamad Akmal berkata, untuk itu pihaknya mengeluarkan surat kepada anak gelandangan terbabit untuk rujukan hospital bagi membolehkan mereka mendapatkan suntikan dan berharap ada pihak yang akan membantu.

Katanya, dengan bantuan rakan pegawai perubatan, mereka melakukan saringan kesihatan percuma untuk membantu golongan memerlukan dan pemerhatian mendapati faktor pengabaian menyebabkan kanak-kanak di situ terbiar.

“Kebanyakannya datang dari keluarga yang bermasalah. Ada ibu, tapi ayah hilang entah ke mana.

“Sudahnya tiada siapa yang akan membawa mereka ke klinik atau hospital sekiranya sakit. Sebab itu mereka tidak mengambil suntikan vaksin kerana tidak tahu.

“Kesannya mungkin bukan sekarang, tetapi sesuatu perlu dilakukan secepat mungkin bagi memastikan kawasan itu bebas daripada sebarang wabak yang kita khuatir boleh menjangkiti pelancong atau masyarakat setempat pula,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata, pihaknya akan melihat isu itu secara lebih mendalam kerana ia membabitkan komuniti di ibu negara.

Katanya, beliau mengalu-alukan maklumat daripada pelbagai pihak mengenai isu itu dan berharap orang ramai turut memberikan kerjasama menyalurkan masalah itu kepada kementerian.

“Rakyat dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jangan terpisah. Mereka boleh jadi mata dan telinga kepada kami dan kami akan ambil tindakan sewajarnya isu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 6:31 AM