Hazira Ahmad Zaidi


PENDUDUK Kampung Padang Kala, Melor, Kota Bharu, mencipta kelainan apabila menghidupkan semula juadah bubur asyura menggunakan tempurung kelapa dialas daun pisang selain menjadikan daun nanas sebagai sudu.

Mohd Nasir Mat Sin, 61, berkata sambutan tahun ini sedikit berbeza untuk mengajak penduduk menghidupkan semula warisan tradisi Melayu.

“Keenakan rasa bubur asyura yang masih panas dimakan dalam tempurung kelapa beralaskan daun pisang menjadi pengalaman tidak akan dapat dilupakan.

“Orang zaman dahulu menggunakan tempurung kelapa diparut bersih sebagai mangkuk dan daun nanas dijadikan sudu.

“Saya masih ingat ketika zaman dahulu untuk makan bubur asyura, penduduk kampung sibuk mencari tempurung kelapa dan ada antara mereka kreatif menghasilkan bekas bubur asyura sangat cantik untuk dijadikan mangkuk,” katanya ketika ditemui di Majlis Kacau Bubur As Syura di Kampung Padang Kala, semalam.

Terdahulu, kira-kira 100 penduduk kampung bergotong royong memasak 12 kawah bubur asyura untuk diagihkan kepada kampung berdekatan.

Bagi Rahimah Mohd Yusof, 45, menikmati bubur asyura dalam tempurung kelapa dapat mengembalikan nostalgia ketika zaman 1970-an.

“Cara ini cukup popular pada zaman dahulu dan dihidupkan semula bagi mengimbau kembali kenangan lama yang tidak pernah dirasai generasi hari ini,” katanya.

Sementara itu, Che Aminah Che Awang, 60, berkata bubur asyura dimasak menggunakan resepi tradisi seperti beras, santan, jagung, daging dan kerisik.

“Proses menyediakan bubur asyura biasanya dilakukan pada sebelah malam dan akan dimasak selepas Subuh bermula jam 8 pagi hingga ke petang.

“Ia mengambil masa agak lama iaitu antara tujuh hingga lapan jam dan proses mengacau bubur asyura sama seperti mengacau dodol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 10:02 AM
PENDUDUK kampung bergotong royong mengacau bubur asyura, (Gambar kecil) Bubur asyura dalam tempurung kelapa yang dilapik daun pisang dan daun nenas sebagai sudu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR