Mohd Azam Shah Yaacob


JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan memberi tumpuan terhadap motosikal Yamaha Y15ZR atau lebih Ysuku yang diubahsuai bagi tujuan perlumbaan.

Timbalan Pengarah (Penguatkusaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, polis menyedari trend pengubahsuaian motosikal itu yang banyak dilakukan pemiliknya termasuk dalam kalangan selebriti.

Menurutnya, JSPT mendapati wujudnya kumpulan penunggang Ysuku yang diupah sebagai joki oleh bengkel bagi menguji motosikal yang diubahsuai termasuk untuk perlumbaan.

“Sebelum ini trend ubahsuai motosikal ini lebih kepada model Honda EX5 tetapi kini mereka sudah beralih kepada Ysuku.

“Dalam operasi yang dijalankan terutama pada hujung minggu bagi mengekang kegiatan perlumbaan di jalanan, banyak tangkapan oleh JSPT membabitkan penunggang motosikal berkenaan dan jumlahnya semakin meningkat,” katanya dalam sidang media ketika Ops Khas Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, ubahsuai yang dilakukan terhadap motosikal itu membabitkan bahagian enjin dan ia didapati boleh mendatangkan musibah kepada penunggangnya.

“Sebagai contoh bahaya, jika ‘Ysuku’ itu dijual dengan spesifikasi kelajuan 110 kilometer sejam (km/j), jangan ubah enjin untuk menunggangnya sehingga kelajuan lebih 140 km/j, ia melanggar undang-undang jalan raya.

“Polis juga khuatir motosikal itu tidak dapat menampung kelajuan baru sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes kemalangan maut.

“Dalam hal ini, penunggang bukan saja membahayakan diri sendiri malah pengguna kenderaan lain,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Op Khas Kenderaan Perdagangan dijalankan, Mohd Nadzri berkata, sebanyak 1,384 saman dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan perdagangan dalam operasi bermula Selasa lalu sehingga malam tadi.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga, seramai 18 pemandu berusia 30 hingga 40 tahun ditahan kerana positif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 1:37 AM
Gambar hiasan