MOHD Tahir (kiri) dan Nor Lizam dikehendaki hadir bagi perbicaraan kes pemalsuan dokumen di Mahkamah Sesyen Taiping pada 25 September ini. FOTO ihsan polis.
Mohd Hafizee Mohd Arop


IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping mengesan dua saksi bagi perbicaraan membabitkan kes pemalsuan dokumen di Mahkamah Sesyen Taiping, pada 25 September ini.

Dua lelaki berkenaan Nor Lizam Mat Saad yang beralamat terakhir di Taman Seri Indah, Balik Pulau, Pulau Pinang dan Mohd Tahir Osman dari Persada Damai, Bandar Enstek, Labu, Negeri Sembilan.

Menerusi satu kenyataan, polis memaklumkan kedua-dua saksi berkenaan diminta tampil untuk memberikan keterangan membabitkan kes pemalsuan dokumen mengikut Seksyen 471/467 Kanun Keseksaan.

“Mereka diminta hadir ke mahkamah berkenaan pada 9 pagi, 25 September ini bagi membolehkan kes berkenaan diteruskan.

“Perbicaraan kes bermula pada 19 Ogos lalu tertangguh dan hanya akan dapat diteruskan dengan kehadiran saksi berkenaan terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua saksi berkenaan bolehlah menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Selvakumar di talian 011-36262750 atau Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Taiping di talian 05-8291322,” kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 4:18 PM