HALIMATON Saadiah (tiga dari kanan) ketika menziarahi nenek kepada empat beradik, Samsiah (dua dari kanan) di Kampung Matang Kong. FOTO Noorazura Abdul Rahman
NoorazuraAbdul Rahman


BUKAN saja hidup dalam serba kekurangan, malah seorang wanita warga emas terpaksa membanting tulang menyara empat cucunya yang baru sahaja kehilangan kedua-dua orang tua mereka, baru-baru ini.

Beban itu terpaksa dipikul Samsiah Othman, 57, dari Kampung Matang Kong, Jerlun, bersendirian memandangkan suaminya, Ku Aziz Ku Abdullah, 66, kini uzur dan sekadar terlantar di rumah.

Cucunya, Ku Irzawati Ku Ibrahim, 12, Ku Irsa Zawanei Ku Ibrahim, 9, Ku Imani Zahra Ku Ibrahim, 6 dan Ku Inas Zafirah Ku Ibrahim kehilangan kedua ibu bapa mereka yang masing-masing meninggal dunia Julai dan Jumaat lalu.

Samsiah berkata menantunya, Intan Zurina Abdul Rashid, 37 meninggal dunia pada 27 Julai lalu kerana menghidapi penyakit hati, manakala bapa kanak-kanak itu, Ku Ibrahim Ku Aziz, 44, pula meninggal dunia Jumaat lalu.

Katanya, anak dan menantunya pergi secara mengejut dan tidak menunjukkan tanda sakit sebelum ini.

“Malah anak saya, Ku Ibrahim masih kuat bekerja sebelum tiba-tiba dimasukkan ke wad akibat komplikasi organ dalaman manakala menantu saya akibat masalah hati.

“Anak mereka yang masih kecil kini tinggal bersama saya termasuk tiga daripadanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, hari ini.

Bercerita lanjut, Samsiah berkata dia juga perlu menjaga suaminya, Ku Aziz yang terlantar sakit sehingga menyukarkannya untuk menguruskan tiga cucu bersekolah setiap hari.

Katanya selepas ibu bapa mereka meninggal dunia, ada pihak yang datang untuk menjaga mereka adik-beradik tetapi ada yang hanya mahu menjaga seorang atau dua beradik sahaja menyebabkan dia menolak permintaan itu kerana tidak sanggup melihat mereka terpisah.

“Saya lebih rela bersusah payah membesarkan mereka, walaupun dengan pendapatan yang terhad kerana tidak lagi bekerja sejak tiga tahun lalu selepas suami jatuh sakit.

“Mujur anak yang lain ada membantu sikit dan kami hidup dan makan apa yang ada,” katanya.

Sementara itu, penderitaan Samsiah dan empat cucunya itu mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad yang melawat keluarga itu.

Pada masa sama, beliau memaklumkan perancangan untuk menempatkan Ku Irzawati, Ku Irsa Zawanei dan Ku Imani Zahra di Rumah Anak Yatim Gemilang, Sik, manakala Ku Inas Zafirah akan dijaga neneknya.

“Nenek mereka tidak mahu empat beradik ini dipisahkan, jadi cara terbaik ialah menempatkan tiga daripadanya di rumah (kebajikan) itu melalui Majlis Kebajikan Negeri Kedah.

“Malah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan melihat bantuan bersesuaian kepada keluarga ini untuk menampung kos harian disamping bantuan bulanan kepada datuk mereka yang terlantar sakit berjumlah RM300 sebulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 6:27 PM