Pemandangan kawasan Shah Alam pada 7 malam tadi yang kelihatan kabur akibat jerebu. FOTO Roslin Mat Tahir


EMPAT stesen di Selangor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 11 malam ini.

Berdasarkan bacaan yang dipaparkan laman web http://apims.doe.gov.my, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Johan Setia merekodkan bacaan IPU 149, Banting (105), Shah Alam (104), dan Petaling Jaya (106).

Turut mencatatkan IPU tidak sihat adalah Batu Muda, Kuala Lumpur dengan bacaan 123; Cheras, Kuala Lumpur (117); Putrajaya (115); Nilai, Negeri Sembilan (109); Seremban, Negeri Sembilan (101); Rompin, Pahang (112).

Sementara itu di Sarawak, dua stesen mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu di Kuching dengan bacaan IPU 215 manakala Sri Aman, 219.

Tiga stesen di negeri itu juga mencatatkan IPU tidak sihat iaitu Samarahan dengan bacaan 170, Sarikei (102) dan Institut Latihan Perindustrian Miri (102).

JAS dalam kenyataan hari ini berkata, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.

“Kebakaran belukar bagi tujuan pertanian yang berlaku di Jalan 9, Johan Setia, Klang memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di stesen Johan Setia, Klang dan jerebu setempat di Bandar Putera 2, Klang.

“JAS Selangor sedang mencari pemilik tanah dan meningkatkan tindakan penguatkuasaan serta aktiviti rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka.

“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan sudah diaktifkan bagi menyelaraskan tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

“Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 11:38 PM