KAKITANGAN PROLINTAS menyerahkan topeng muka secara cuma kepada penunggang motosikal yang menggunakan Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA). FOTO Osman Adnan
Nur Lela Zulkipli


KUALITI udara di lima stesen di Selangor mencatatkan tahap tidak sihat, jam 7 pagi hari ini.

Berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dipaparkan laman web http://apims.doe.gov.my, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Johan Setia merekodkan bacaan IPU 159, Banting (123), Shah Alam (123), dan Petaling Jaya (131) dan Klang (118).

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Shafe’ee Yasin menasihatkan

orang ramai memakai penutup hidung dan mulut bagi mengurangkan kesan terhadap kesihatan susulan keadaan cuaca berjerebu.

“Selain itu, kurangkan juga aktiviti luar buat masa ini sehingga kualiti udara pulih seperti biasa.

“Orang ramai juga perlu minum lebih banyak air kosong bagi mengurangkan risiko sesak nafas sepanjang cuaca yang berjerebu yang melanda Selangor kini,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Ditanya sama ada kebakaran kebun sawit di Bukit Talang, Bestari Jaya, semalam, menyumbang kepada cuaca jerebu, Shafe’ee berkata kejadian itu hanya memberi kesan kecil.

“Selepas disiasat, kita dapati kebakaran itu bukan kebakaran terbuka yang disengajakan. Jadi, tiada tindakan undang-undang akan diambil oleh JAS.

“Kebanyakan tanaman adalah kelapa sawit, selain tiada aktiviti memotong pokok untuk penanaman semula dikesan di lokasi kebakaran,” katanya.

Menurutnya, usaha memadamkan kebakaran oleh bomba di kebun seluas kira-kira 1.214 hektar berkenaan, dijangka selesai hari ini.

“Saya dimaklumkan sebahagian besar api sudah berjaya dipadamkan dan hanya tinggal asap yang akan padam sepenuhnya hari ini,” katanya.

JAS dalam kenyataannya semalam memaklumkan, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.

Kebakaran belukar bagi tujuan pertanian yang berlaku di Jalan 9, Johan Setia, Klang juga memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di stesen Johan Setia, Klang dan jerebu setempat di Bandar Putera 2, Klang.

JAS Selangor sedang mencari pemilik tanah dan meningkatkan tindakan penguatkuasaan serta aktiviti rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 9:20 AM