SYED Ibrahim mengetuai lafaz bacaan syahadah di hadapan sebahagian Orang Asli yang turut disertai Nurqaireen Nadeera Huikahfatt. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Shahrinnahar Latib


“SAYA tertarik dengan Islam sejak di bangku sekolah rendah lagi kerana dikelilingi rakan Muslim.

“Malah, saya mula cuba memakai tudung sejak berusia 18 tahun lagi,” kata mualaf Orang Asli, Nur Qaireen Nadeera Huikahfatt, 22.

Menurut suri rumah yang menetap di Kampung Mikang, Bukit Ibam di Muadzam Shah, Rompin itu, dia juga sering mengikut rakannya membaca doa ketika di sekolah menyebabkannya tertarik untuk mendalami Islam.

“Sebelum ini saya tidak ada agama, tetapi selepas menyelami agama Islam membuatkan saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam.

“Saya mula bertudung dan berpuasa sejak berusia 18 tahun lagi, sebelum memeluk Islam tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengislaman dan Meraikan Saudara Baru di Yayasan Pahang di Kuantan, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Nur Qaireen Nadeera berkata, sebaik melafazkan dua kalimah syahadah, dia bertekad untuk lebih mendalami serta mempelajari Islam dengan seorang ustazah di Muadzam Shah.

“Keluarga menerima keputusan yang saya ambil ini dengan hati terbuka walaupun pada mulanya ibu agak sedih. Namun, dia faham dengan pilihan saya,” katanya.

Katanya, sebelum ini nama sebenarnya, Hui Ying Zhen, namun ditukarkan kepada Nur Qaireen Nadeera selepas dipilih oleh rakannya.

Sementara itu, Wan Rosdy dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Syed Ibrahim berkata, seramai 3,928 Orang Asli sudah memeluk Islam hasil dakwah pembantu penggerak Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli Yayasan Pahang (PETAMA), sejak 2008 hingga Julai lalu.

“Sehingga kini, UCYP (Kolej Universiti Yayasan Pahang) sudah melahirkan seramai 799 pelajar Orang Asli yang mampu menjadi pemimpin Islam dan agen perubahan serta pembangunan dalam masyarakat mereka,” katanya.

Beliau berkata, hari ini sahaja menyaksikan pengislaman seramai 47 orang saudara baharu yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli dari daerah Rompin.

“Turut diraikan seramai 21 orang saudara baharu yang memeluk Islam baru-baru ini terdiri daripada bangsa Cina, India dan Bumiputera Sarawak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 12:48 PM