Shamsul Munir Safini


POLIS memberi amaran kepada semua pihak termasuk artis supaya menghentikan aktiviti mempromosi kegiatan lumba dan ubah suai motosikal secara haram atau tindakan tegas dikenakan ke atas mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, perbuatan itu dilihat semakin berleluasa dan cenderung menggalakkan kegiatan tidak sihat dalam kalangan remaja.

Katanya, pihaknya memandang serius hal itu terutama membabitkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang lebih dikenali Ysuku.

“Saya sendiri ada terdengar mengenai kumpulan dan artis yang mempunyai laman sosial sendiri bagi menyiarkan video mengenai modifikasi haram yang dilakukan terutama ke atas Ysuku itu.

“Kita memang memantau aktiviti kumpulan motosikal sebegini dan akan mengambil tindakan pada bila-bila masa sahaja jika mempunyai maklumat dan bukti mencukupi,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau ditemui pada majlis penutup program kempen kesedaran keselamatan jalan di Flex Penang Plant 5, Kawasan Perindustrian Prai, Pulau Pinang.

Azisman berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan pihak yang menyalahi undang-undang termasuklah golongan artis.

Untuk tujuan itu juga katanya, polis menerusi Unit Khas Skuad 42 yang memerangi kumpulan mat rempit, dipertanggungjawabkan menyiasat dan mengumpul bukti bagi memberkas mereka terbabit promosi haram itu.

“Memang diakui bahawa mereka ini sudah berani melanggar peraturan yang ditetapkan malah mempromosikan aktiviti tidak sihat.

“Kita faham ia bagi tujuan menambah pendapatan melalui bayaran iklan dan sebagainya, namun jangan terlalu obses sehingga membelakangi undang-undang,” katanya.

Untuk rekod, purata kemalangan maut di negara ini antara 16 hingga 17 kes dengan 65 peratus daripadanya membabitkan penunggang motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 6:39 PM
AZISMAN pada sidang media, hari ini. FOTO Mikail Ong.