Gambar Hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


EMPAT lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes tetak hingga menyebabkan seorang bouncer (penjaga) pub parah di hadapan sebuah pub di Susur 1, Jalan Tun Abdul Razak, Johor Bahru Khamis minggu lalu.

Dalam kejadian 4 pagi itu, mangsa dan seorang lagi rakan sekerja diserang dua lelaki bersenjatakan parang.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, sebelum kejadian, mangsa berusia 32 tahun dan seorang lagi bouncer bekerja di pub berkenaan.

“Mereka sedang bekerja di pub itu sebelum datang dua suspek menunggang motosikal dengan jenis dan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan yang menyerang mereka dengan parang.

“Mangsa menahan serangan dengan tangan menyebabkan tangannya tercedera.

“Mangsa parah hingga hilang fungsi jari telunjuk kiri dan kini cacat kekal.

“Pemeriksaan mendapati, mangsa mempunyai rekod lampau dalam kes dadah pada 2017,” katanya.

Shahurinain berkata, pada hari sama, polis menahan dua kontraktor masing-masing berusia 25 dan 34 tahun dipercayai datang berhibur bersama dua rakan lelaki lain sebelum terbabit dalam pertengkaran dengan mangsa.

“Dua suspek itu terlebih dulu ditahan Khamis lalu dan direman enam hari sehingga esok.

“Dua suspek lagi iaitu masing-masing peniaga berusia 35 dan 29 tahun ditahan Isnin lalu dan direman lima hari sehingga Sabtu ini.

“Dua suspek ini membuat pengakuan awal menetak mangsa menggunakan parang,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan di sekitar Johor Bahru dan tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah serta ada dikehendaki polis bagi kes dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 7:16 PM