Mohamad Hussin


SEBANYAK 19 kawasan di seluruh negara mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat setakat 6 petang, hari ini berbanding 18 kawasan 2 petang tadi.

Data keseluruhan menunjukkan kualiti udara di 47 kawasan berada dalam keadaan tahap sederhana manakala satu lagi lokasi merekodkan bacaan sihat iaitu di Kimanis, Sabah (47).

Berdasarkan maklumat dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU tertinggi 197 direkodkan di

Rompin, Pahang dan Sri Aman, Sarawak iaitu 173.

Turut mencatatkan bacaan tertinggi ialah di Batu Muda dan Cheras Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masing-masing bacaan IPU 161 dan 150.

Sementara itu, kualiti udara di Selangor juga merekodkan IPU tidak sihat iaitu Johan Setia Klang (153), Petaling Jaya (141), Shah Alam (131), Banting (120) dan Klang (113).

Manakala bacaan IPU di Negeri Sembilan membabitkan Nilai (147), Seremban (119) dan Port Dickson (108) manakala Putrajaya (140) juga tidak sihat.

Turut terjejas adalah di Bukit Rambai, Alor Gajah dan Bandaraya Melaka menunjukkan bacaan IPU masing-masing 107, 103 dan 101 manakala Tangkak, Johor adalah 121.

Bacaan IPU di Sabah pula di tahap sederhana dengan IPU antara 52 hingga 62.

Mengikut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, berasaskan laporan Metrologi Malaysia (MET) dan National Disaster Command Center (NDCC), kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 pula tahap berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 7:41 PM
PEMANDANGAN berjerebu di pusat bandar raya Kuala Lumpur ketika rakaman pada 4 petang dari Menara Kuala Lumpur. FOTO Salhani Ibrahim