Nur Azmi kecewa terhadap tindakan sikap pemandu bas ekspres yang dinaikinya. FOTO Nur Azmi Arif Sait
Redzuan Muharam


“SAYA tak serik menaiki bas kerana bukan semua pemandu begitu tetapi berharap perkongsian di laman sosial itu membuka mata orang ramai yang mungkin mengalami nasib sama tetapi takut menyuarakannya,” kata Nur Azmi Arif Sait, 31, mengenai hantaran dimuat naiknya di Facebook semalam.

Menerusi hantaran itu, Nur Azmi meluahkan kekecewaannya terhadap sikap pemandu bas ekspres yang menurunkannya di lokasi tidak sepatutnya hingga terpaksa berjalan kaki dua kilometer (km) untuk ke terminal bas.

Perkongsian Nur Azmi mengundang pelbagai reaksi warganet dan segelintir turut berkongsi pengalaman sama ketika menaiki bas ekspres.

Menceritakan perkara sebenar, Nur Azmi berkata, kejadian berlaku ketika dia menaiki bas ekspres dari Kuala Terengganu ,Terengganu ke Segamat, Johor 8 September lalu.

“Saya, isteri, Norshazwani Mohamad, 25, dan adik lelaki, Abdul Azim Bazilah, 15, bertolak dari Kuala Terengganu 10.15 malam.

“Ketika hampir tiba di destinasi, pemandu bas memaklumkan dia tidak boleh hantar sehingga ke terminal dan meminta kami bertiga serta beberapa penumpang lain turun di lokasi berkenaan.

“Disebabkan tidak berpuas hati, saya mempersoalkan tindakannya tetapi dia (pemandu) memberi alasan berbuat demikian kerana mengikut pesanan orang lama (pemandu lebih senior),” katanya ketika dihubungi.

Nur Azmi berkata, dalam keadaan terpaksa, dia turun dari bas sebelum berjalan kaki ke terminal sendirian untuk mengambil kereta yang diparkir di situ.

Isteri dan adiknya menunggu di lokasi mereka diturunkan sementara menantinya berpatah balik dengan memandu kereta.

“Kami tiba di situ 4.50 pagi dan saya tiada pilihan kecuali teruskan berjalan kerana perlu mengambil semula kereta yang diparkir di terminal.

“Suasana sunyi dan saya tak dapat bayangkan bagaimana jika wanita, ibu mengandung atau warga emas melalui situasi serupa.

“Selepas berfikir panjang, saya nekad kongsi pengalaman dilalui di Facebook tetapi niatnya cuma untuk menyedarkan pemandu dan syarikat pengusaha bas ekspres.

“Bagi saya, penumpang ada hak untuk bersuara kerana mereka membayar tiket, bukan naik secara percuma jadi apa yang berlaku amat tidak wajar.

“Diharap perkara ini memberi peringatan kepada pengurusan bas supaya tidak hanya memikirkan keuntungan hingga mengabaikan keselamatan penumpang,” katanya.

Sementara itu, Prisma Express menerusi kenyataan rasmi di Facebook Prisma Serimas Holidays berkata, pihaknya sudah berhubung dengan penumpang berkenaan bagi menyelesaikan isu yang timbul secara baik.

“Pihak syarikat diwakili Tuan Aiman dan pengadu Tuan Azmi dengan rendah diri dan hati terbuka berkomunikasi dengan muhibah selama 26 minit untuk penyelesaian isu ini.

“Kami juga menghargai maklum balas Tuan Azmi dalam komen beliau. Beliau juga mendengar penjelasan daripada kami.

“Dengan ini pihak kami dan Tuan Azmi bersetuju dan menganggap perkara ini selesai. Kami berharap netizen tidak lagi memanjangkan perkara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 11:08 PM