Anggota JPJ menyita motosikal yang melakukan kesalahan dalam operasi sebelum ini. Foto Arkib NSTP
Hidayatul Akmal Ahmad dan Nurul Hidayah Bahaudin


BUKAN saja motosikal Yamaha Y15ZR atau ‘Ysuku’ tetapi semua jenis motosikal yang diubahsuai akan dikenakan tindakan sekiranya melakukan pengubahsuaian.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, sebanyak 1,222 saman dikeluarkan atas kesalahan ubah suai kenderaan dikeluarkan pihaknya bagi tempoh Januari hingga Julai lalu.

“Daripada jumlah itu, 547 saman dikeluarkan terhadap motosikal yang dikesan melakukan kesalahan.

“JPJ Kuala Lumpur sepanjang tahun lalu mengeluarkan sebanyak 1,764 saman bagi kesalahan itu dengan 731 saman membabitkan motosikal.

“Dari segi tindakan penguatkuasaan, kami tidak hanya menumpukan jenis model tertentu seperti Ysuku tetapi semua jenis kenderaaan yang diubahsuai akan dikenakan tindakan saman.

“Bagi setiap kesalahan ubah suai membabitkan satu komponen akan dikenakakan kompaun RM150 mengikut Seksyen 6 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan larangan bagi kenderaan motor yang tidak mematuhi kaedah-kaedah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ismail berkata, pihaknya mengenal pasti komponen yang sering diubahsuai oleh pemilik motosikal.

“Kebanyakan motosikal diubah suai mengikut ‘selera’ pemiliknya. Ada yang mengubah ekzos untuk menjadikannya lebih bising dan banyak asap selain membuang cermin sisi, menukar nombor pendaftaran kenderaan serta tayar kecil bagi menjadikan kenderaan mereka lebih ‘ranggi’.

“Berdasarkan trend semasa, Ysuku memang nampak lebih menonjol kerana ciri motosikal itu yang laju dan ada yang menjadikannya sebagai kenderaan untuk berlumba,” katanya.

Beliau menasihatkan pemilik motosikal supaya bertanggungjawab terhadap kenderaan masing-masing.

“Setiap pengubahsuaian kenderaan yang dilakukan pemilik harus mengikut lunas undang-undang. Sekiranya mereka kurang pasti sama ada ubah suai dilakukan mengikut spesifikasi ditetapkan atau tidak, pemilik boleh merujuk perkara itu kepada JPJ.

“Bagi golongan selebriti, mereka diminta berhati-hati dalam tindakan mengubah suai motosikal yang dipamerkan di media sosial kerana ia secara tidak langsung mempengaruhi pengikut untuk membuat tindakan sama (ubah suai) kerana perkara itu adalah salah,” katanya.

Berita berkaitan

Artis pun boleh kena tindakan [METROTV]

'Jangan saman pemilik, saman penjual aksesori juga'

Jaga-jaga Ysuku ubah suai... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 6:34 PM