Mohd Hafizee Mohd Arop


KERAJAAN Negeri Perak menyumbang RM25,000 kepada balu Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya yang meninggal dunia selepas terkena tembakan ketika melakukan aksi demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah.

Sumbangan itu dijangka akan disampaikan kepada Nour Shafinar Harun, 31, esok oleh wakil Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal dalam kenyataan hari ini berkata, sumbangan itu diluluskan, hari ini sebagai menghargai jasa dan pengorbanan besar Allahyarham Mohd Zahir dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Biarpun sumbangan ini tidak dapat dibandingkan dengan kepiluan dan kesedihan yang sedang dilalui oleh balu Allahyarham, diharap sedikit sebanyak membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung.

“Kerajaan negeri mendoakan semoga Nour Shafinar terus dikurniakan ketabahan dalam menghadapi saat-saat yang amat sukar ini,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga bersedia menghulurkan bantuan susulan bagi mengurangkan bebanan balu Allahyarham dalam membesarkan anak-anaknya.

Mohd Zahir, 36, pegawai komando 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia pada 4 September lalu selepas terkena tembakan ketika melakukan aksi demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Allahyarham yang juga anak pelawak terkenal AR Badul meninggalkan lima anak hasil perkahwinan terdahulu dan bersama Nour Shafinar yang kini turut disahkan mengandung anak kedua mereka.

Berita berkaitan

'Arwah tak tahu saya mengandung' - Nour Shafinar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 6:53 PM